A+ A A-

Kafe Vendor WARONGTiHH Terap Budaya Keusahawanan Pelajar

Oleh : Nurul Aida Othman

PAUH PUTRA, 9 Ogos – Pembudayaan keusahawanan dalam kalangan pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) nyata membuahkan hasil dengan pembukaan cawangan kedua kafe di Kampus Alam UniMAP, di sini.

Kafe berkonsepkan jualan vendor yang menggunakan nama komersial WARONGTiHH itu sebelum ini dibuka di Kampus UniCITI Alam, Padang Besar mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan pelajar dan penduduk setempat sekaligus mendorong cawangan kedua pula dibuka di Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah (KKTTF).

Naib Canselor UniMAP Prof. Ir. Dr. R Badlishah Ahmad berkata pembukaan kafe berkenaan dapat memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari dan menguruskan perniagaan dalam erti kata yang sebenarnya.

 

“Jatuh bangun WARONGTiHH adalah terletak di tangan mereka di mana mereka harus belajar cara menguruskan stok, akaun dan perniagaan itu sendiri.
Ia adalah pengalaman awal paling berharga kepada mahasiswa UniMAP sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan,” katanya.

Majlis perasmian pembukaan kafe itu dirasmikan oleh Dr. R Badlishah  dengan disaksikan oleh Timbalannya, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan, pegawai-pegawai utama universiti dan Pengarah Pusat Pembangunan & Perkhidmatan Pelajar (P3P) , Prof Madya Dr Muzammil Jusoh.

Tambah beliau, ramai dalam kalangan alumni kejuruteraan UniMAP tidak lagi hanya tertumpu pada bidang kejuruteraan tetapi mereka juga turut terlibat secara sambilan dalam bidang perniagaan.

Ini merupakan satu permulaan yang baik dan secara tidak langsung memperlihatkan keupayaan pelajar untuk turut berjaya dalam bidang perniagaan dan keusahawanan sekaligus membuktikan bahawa langkah penciptaan pekerjaan (job creator) untuk masa akan datang boleh dilakukan,” kata beliau.

Sementara itu, Pengurus WARONGTiHH di KKTTF Muhammad Izzat Arifin yang juga pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) UniMAP berkata kafe berkenaan diuruskan olehnya seratus peratus dengan dibantu penasihat WARONGTiHH, Pegawai Latihan Vokasional FTK UniMAP, Nurul Huda Hashim.

Ujarnya, dia berbesar hati kerana diberi kepercayaan oleh P3P dan Nurul Huda dalam menguruskan kafe kedua WARONGTiHH itu kerana ia memberi keutamaan kepada pelajar asnaf atau B40 untuk bekerja, manakala vendor-vendor pula dalam kalangan suri rumah dan ibu tunggal dalam kategori yang sama.

“WARONGTiHH juga turut menekankan konsep kampus hijau di mana kami mengalakkan sistem tukar barang kitar semula seperti botol minuman, kotak dan kertas makanan kepada produk makanan.

“Ini sekaligus dapat memupuk minat pelajar untuk menguruskan barang terpakai dengan lebih sistematik dan sebagai balasan mereka boleh menukarkan barangan tersebut dengan produk makanan,” katanya.

WARONGTiHH beroperasi setiap hari dari Isnin hingga Ahad bermula jam 10.00 pagi hingga 11.00 malam dengan kafe pertama di UniCITI Alam pula dikendalikan oleh Mohamad Akram Mohamad Nafi yang juga pelajar FTK.