Penubuhan JPM UniMAP Perkasa Parlimen Digital Pertama IPT
Oleh : Aininulniza Mohd Yusof
PAUH PUTRA, 24 Ogos 2020 - Mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) buat pertama kalinya mengadakan Persidangan Mahasiswa (PERSIMA) UniMAP secara digital menerusi GoogleMeet.
Perlaksanaan modul persidangan secara dalam talian itu sebagai langkah proaktif mengangkat suara mahasiswa di universiti meskipun dunia masih lagi dikongkong penularan wabak Covid-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Persidangan Mahasiswa UniMAP (JPMU) Mohamad Hilmi Hisyamuddin Mohamad Rosdi berkata inisiatif itu digerakkan sepenuhnya oleh mahasiswa melalui penubuhan JPMU yang dianggotai oleh mahasiswa pasca siswazah, ijazah sarjana muda dan diploma di UniMAP.
Ujarnya, persidangan kali ini menerima lebih 60 usul untuk dibahaskan oleh seramai 60 orang perwakilan mahasiswa yang mewakili Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Penghuni Kolej Kediaman (MPKK), Jawatankuasa Pelajar, Kelab dan Persatuan mahasiswa di UniMAP.
“Persidangan ini berlangsung selama tiga hari, bermula dari 21 Ogos sehingga 23 Ogos lalu dengan pengelolaan pihak JPMU sepenuhnya seiring dengan prosedur yang ditetapkan kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini.
Sementara itu, JPMU melalui persetujuan Lembaga Penasihat Persidangan telah memilih Muhammad Amir Hakim Razali (alumni Parlimen Mahasiswa 2017) yang merupakan alumni UniMAP sendiri sebagai Yang Di-pertua (YDP) Dewan Persidangan 2020.
Pemilihan speaker dewan itu adalah juga tertakluk kepada Perlembagaan Persidangan dengan mewajibkan calon speaker perlulah memenuhi kriteria yang ditetapkan manakala istiadat pemakaian jubah YDP Dewan disempurnakan oleh Senator, Tuan Nasir Ibrahim yang juga Pegawai Perundangan UniMAP.
Tambah Mohamad Hilmi, demi mengekalkan konsep persidangan berparlimen secara dalam talian menerusi platform GoogleMeet, persidangan itu tetap menjalankan agenda mesyuarat mengikut protokol istiadat persidangan di dalam dewan sejak dari pembukaan dewan sehingga penangguhan dewan persidangan pada hari terakhir.
“Demi menitikberatkan aspek kelancaran dan ketelusan di samping menjamin keharmonian persidangan, seluruh ahli perwakilan adalah tertakluk kepada undang-undang dan tatacara persidangan di dalam Buku Perlembagaan Persidangan yang diwujudkan oleh JPMU buat pertama kali ini.
Malah persidangan ini dikongsikan secara langsung di Facebook untuk disaksikan oleh seluruh mahasiswa dan warga universiti sebagai pemerhati persidangan,” kata beliau.
Majlis istiadat penangguhan persidangan disempurnakan oleh Timbalan Patron Persidangan, Prof. Dr. Mohd. Fo'ad Sakdan, yang juga Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UniMAP.
Dalam ucapan rumusan, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh ahli perwakilan mahasiswa yang komited dalam pembahasan usul, serta mengucapkan syabas kepada pihak JPMU atas keupayaan melaksanakan PERSIMA secara digital pertama di peringkat keseluruhan IPT.
Beliau turut menyampaikan dua anugerah iaitu Anugerah Pembawa Usul Terbaik kepada Suriyarao A/L Raman Naidu yang mewakili MPKK Pauh Putra dan Anugerah Pendebat Terbaik Keseluruhan Persidangan kepada Tan Yu Xuan yang mewakili Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES).
Fokus perbahasan usul PERSIMA kali ini dibahagi mengikut kluster, iaitu Kluster Akademik, Kluster Aktiviti Pelajar, Kluster Kebajikan Mahasiswa, Kluster Pentadbiran dan Pengurusan, Kluster Usul Lain-lain.
Proses undian usul dilaksanakan menerusi medium "Polling" di Telegram, dan mewajibkan sekurang-kurangnya dua per tiga ahli dewan membuat undian dalam memastikan kewajaran usul diterima oleh dewan persidangan untuk dimajukan kepada Senat Universiti, Fakulti, Jabatan-jabatan, Kolej Perumahan Pelajar, mahupun untuk tindakan organisasi mahasiswa iaitu MPP dan MPKK sendiri.