Sayur, Buah dan Makanan Laut Rezeki Pelajar Penempatan Berpusat UniMAP

Oleh: Aininulniza Mohd Yusof
ARAU, 8 April – Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu? Demikianlah pepatah yang boleh diibaratkan kepada pelajar yang menginap di penempatan berpusat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di kampus universiti itu, di sini.
Ini adalah kerana sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Fasa Kedua, rezeki sentiasa berpihak kepada mereka kerana bukan sahaja menerima bantuan berupa barangan kering seperti beras, biskut, gula dan mee segera malah turut menerima sumbangan sayur-sayuran, buah-buahan dan makanan laut.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UniMAP Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan berkata pihak Mikro Malaysia mengambil pendekatan berbeza kerana memberi sumbangan sayur dan buah-buahan kepada pelajar universiti itu.