- Category: BERITA - Malay
- Written by Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Dekan Dan Ketua Jabatan UniMAP Terima Watikah Perlantikan
Pauh Putra, 2 Mac – Seramai 48 Dekan dan Ketua Jabatan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) baru-baru ini telah menerima watikah perlantikan sebagai ketua jabatan universiti itu.
Kebanyakan yang dilantik adalah dari kalangan muka lama, namun terdapat beberapa orang muka baru yang diberikan kepercayaan untuk sama-sama menerajui Pusat Pengajian Kejuruteraan dan Jabatan di UniMAP.
Mereka yang baru dilantik adalah Dr. Nasrul Hamidin sebagai Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar menggantikan Prof. Madya Dr Khairul Nizar Ismail.
Selain itu, Profesor Madya Dr. Mohd Mustafa Albakri Abdullah telah dilantik sebagai Dekan Unit Penyelarasan Program Diploma, Dr. Mohd Hafiz Fazalul Rahiman sebagai Pengarah Unit Reputasi , Dr. Ragunathan AL Santiagoo dan Encik Wong Yee Shian sebagai Pengetua Kolej-kolej Kediaman.
Sementara itu Encik Suhizaz Sudin dilantik sebagai Pengarah Pusat Sukan, Encik Mohd Izwan Izhar Haris sebagai Pengarah Unit Kebudayaan dan Rekreasi dan Puan Suhana Abdul Mutalib sebagai Pengarah Unit Media.
Perlantikan semua Ketua Jabatan UniMAP adalah selama dua tahun bagi tempoh lantikan bermula 1 Mac 2015 hingga 28 Februari 2017.
Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin dalam ucapannya berkata, pelbagai agenda perlu dilaksanakan selaras dengan hasrat dan matlamat universiti yang ingin memacu kegemilangan UniMAP sehingga ke persada antarabangsa dan menjadi 500 universiti terbaik dunia menjelang tahun 2020.
“Saya harap dengan perlantikan ini, segala hasrat universiti untuk menjadi antara 500 universiti terbaik dunia akan dapat dicapai.
Apa yang penting adalah semangat kerjasama dan sebagai Ketua Jabatan dan telah dipertanggungjawabkan untuk menyelia serta mentadbir urus staf bawahan, elemen yang sangat penting untuk diterapkan adalah elemen kewibawaan dan integriti,”katanya.
Pada majlis penyerahan surat pelantikan dan penyambungan kontrak kepada semua Dekan dan Ketua Jabatan UniMAP, Prof. Dr. Kamarudin turut menasihatkan agar semua ketua jabatan dapat melaksanakan tugas dengan baik selain turut menjaga kebajikan staf masing-masing dalam usaha meningkatkan lagi prestasi dan pencapaian UniMAP di masa akan datang.