A+ A A-

Fakulti Teknologi Kejuruteraan UniMAP Tubuh Kumpulan Penyelidik SMART

Kangar, 9 Februari – Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FETech) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP),  mengorak langkah dengan menubuhkan Kumpulan Penyelidikan “Sport, Material & Advanced Research Technology (SMART) yang akan memberi fokus kepada penyelidikan dan penerbitan berimpak tinggi.

SMART merupakan kumpulan penyelidikan yang menggabungkan teknologi sukan serta teknologi bahan yang mana fokus penyelidikan menumpukan kepada peningkatan kualiti dan mutu sukan di negara ini.

Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof Dr. Kamarudin Hussin berkata, penubuhan kumpulan penyelidikan tersebut juga adalah susulan kepada penawaran program pengajian baru di bawah FETech iaitu Kejuruteraan Teknologi Sukan yang dijangka mengambil pelajar pertama September tahun ini.

“Adalah menjadi hasrat saya penubuhan kumpulan penyelidikan ini yang turut membabitkan penglibatan atlit-atlit UniMAP secara tidak langsung akan membantu para penyelidik membuat kajian berhubung isu dan masalah yang membelenggu para atlit di negara ini.

“Semoga produk penyelidikan SMART ini bukan sahaja memberi manfaat besar untuk UniMAP sebaliknya masyarakat sejagat serta mampu menghasilkan inovasi yang dapat meningkatkan mutu dan prestasi atlit sekaligus memantapkan mutu sukan negara,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kumpulan Penyelidikan SMART bersempena Malam Penghargaan FETech dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Hijau dan Geopolimer (CeGeoGTech) serta pelancaran Buku Laporan Tahunan CeGeoGTech di sini semalam.

Majlis tersebut dianjurkan khusus untuk memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada kumpulan penyelidik FETech dan CeGeoGTech yang meraih pelbagai kejayaan sepanjang tahun 2014 yang lalu.

Turut menerima penghargaan ialah 10 Agensi Media yang banyak membantu mempromosikan kejayaan dan kecemerlangan FETech serta CeGeoGTech iaitu Berita Harian, Bernama, Utusan Malaysia, Kosmo, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Sinar Harian, Harian Metro, New Straits Time, Guang Ming Daily serta Sin Chew Daily.

Pada majlis tersebut juga, dua Penolong Editor iaitu Khairina Yassin dari Berita Harian serta Adnan Jahaya dari Bernama turut menerima anugerah kewartawanan CeGeoGTech.

Dalam pada itu, Datuk Kamarudin berkata, penawaran program Teknologi Kejuruteraan ini bukanlah agenda UniMAP sebaliknya pendidikan teknikal dan kejuruteraan yang lebih realistik merupakan suatu agenda penting kerajaan dalam usaha menyokong pertumbuhan industri negara.

Ujar beliau, ia berikutan kurikulumnya yang digubal khusus bagi menyeimbangi  kemahiran kerja dan ilmu pengetahuan dan pada masa sama memberikan fokus agar masyarakat tidak hanya tahu menggunakan segala teknologi terkini malah turut sama menjadi penyumbang utama terhadap penghasilan teknologi.

“Saya percaya, dalam aspek pembelajaran, graduan teknologi kejuruteraan akan berdepan dengan pendekatan praktikal yang lebih banyak yang mana ia secara tidak langsung akan meningkatkan kemahiran teknikal yang dimiliki.

“Pendekatan kurikulum seimbang sebegini merupakan cerapan dari pendekatan yang telah terbukti keberkesanannya di Jerman, Korea, Jepun, Amerika Syarikat dan beberapa negara maju yang lain yang mana ia lebih memudahkan pelajar,” ujar beliau lagi.

FETech

FETech

FETech

FETech

FETech