- Category: BERITA - Malay
- Written by Aininulniza
UniMAP Tubuh IAUN – CHAPTER MEDAN Perkasakan Alumni Antarabangsa
MEDAN, 29 Januari – Bagi merealisasikan hasrat universiti mewujudkan jaringan kerjasama alumni antarabangsa, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menubuhkan “International Alumni UniMAP Network (IAUN) – Chapter Medan”, di sini, hari ini.
Majlis perasmian penubuhan IAUN-Chapter Medan berkenaan diadakan di Institut Teknologi Medan (ITM) anjuran Unit Alumni Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA).
Sempena majlis perasmian itu, Rektor ITM Medan Dr. Ir. Mahrizal Masri dilantik sebagai Presiden manakala Timbalan Rektor ITM Medan, Dr. Ir. Hermansyah Alam dilantik sebagai Timbalan Presiden IAUN- Chapter Medan itu.
Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Dr R Badlishah Ahmad berkata penubuhan IAUN – Chapter Medan adalah ”pioneer” untuk permulaan perhubungan Alumni Antarabangsa UniMAP di seluruh dunia.
Katanya, melalui penubuhan chapter itu sebenarnya mempunyai matlamat yang cukup jelas iaitu untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama alumni dan sebagai platform bagi mewujudkan peluang sumbangan yang bakal memberi manfaat bukan sahaja kepada alumni tetapi juga kepada UniMAP dalam pelbagai bentuk serta skala.
“Di Medan, Indonesia ini juga kita mempunyai 26 orang alumni yang sentiasa berkomunikasi dengan universiti menerusi Unit Alumni dan Persatuan Alumni UniMAP menjadikan hubungan dua hala ini tidak pernah terputus,” kata beliau ketika berucap merasmikan IAUN-Chapter Medan itu.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof Ir. Dr. Mohd Rizal Arshad dan Dekan Pusat Pengajian Siswazah UniMAP, Prof. Madya Ir. Dr. Mohd Khairuddin Md. Arshad.
Tambah Dr R Badlishah, penubuhan IAUN-Chapter Medan itu diinspirasikan oleh Dekan JHEPA, Prof. Madya Dr Muzammil bin Jusoh dan Timbalan Dekan JHEPA, Dr. Mohd Zakimi Zakaria serta disokong penuh oleh Timbalan Naib Canselor HEPA, Prof Dr Mohd Fo'ad Sakdan.
Ujarnya, tidak dinafikan hubungan bersama alumni antarabangsa mempunyai sedikit kekangan berikutan jarak yang agak jauh tetapi beliau percaya dengan wujudnya IAUN – Chapter Medan sebagai permulaan akan merapatkan hubungan alumni bersama universiti.
“Adalah menjadi harapan saya, agar Alumni Antarabangsa UniMAP terutamanya di Medan ini dapat mengembleng tenaga dalam menyusun atur beberapa siri program Alumni bagi terus mengekalkan jaringan ini di masa akan datang malah UniMAP juga mengalu-alukan Alumni terutamanya di Medan dan sekitarnya yang ingin menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi di UniMAP,” katanya.
Selain penubuhan IAUN-Chapter Medan, Unit Alumni turut melaksanakan 16 program dengan penglibatan seramai 414 Alumni dalam usaha mengekalkan hubungan baik semua Alma Mater UniMAP.
Sehingga 2019, alumni UniMAP berjumlah 26,147 orang termasuk alumni antarabangsa iaitu seramai 417 orang.