- Category: BERITA - Malay
- Written by Aininulniza
Pendidikan Tinggi – Sektor Penting Untuk Masa Depan Negara
Kangar, 9 Mac 2020 – Pendidikan Tinggi merupakan antara sektor penting yang berperanan melahirkan generasi masa hadapan yang berdaya saing dan mampu menyumbang kepada agenda pembangunan negara.
Justeru, kewujudan semula Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam senarai kementerian yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan satu langkah bijak ke arah mewujudkan ekosistem pentadbiran yang lebih berfokus.
Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, selain menjadi pemangkin kepada agenda pembangunan negara, pengajian tinggi juga turut berfungsi sebagai penggerak utama agenda inovasi dan penyelidikan melalui kajian yang dilaksanakan oleh pensyarah-pensyarahnya.
“Hal ehwal pendidikan merupakan satu skop yang sangat meluas yang mana konsep dan sistem pendidikan di peringkat sekolah dan universiti adalah berbeza, justeru saya amat menyambut baik keputusan kerajaan untuk meletakkan kedua-duanya di bawah kementerian yang berbeza.
“Semenjak dari dahulu lagi, universiti merupakan antara yang aktif menghasilkan kajian yang mampu menyelesaikan permasalahan dalam komuniti dan industri. Dalam erti kata lain, agenda penyelidikan ini memainkan peranan penting sebagai ejen transformasi industri negara yang turut disokong oleh penawaran geran penyelidikan dan geran padanan industri.
“Agenda ini lebih mudah direalisasikan sekiranya ia diletakkan secara berasingan daripada fungsi dan peranan Kementerian Pelajaran yang lebih berfokus kepada menyediakan akses dan peluang pendidikan yang baik kepada semua anak-anak agar mereka dapat menguasai ilmu yang di ajar di sekolah,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut R Badlishah lagi, kewujudan KPT juga dilihat mampu memacu kecemerlangan agenda Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menjadi fokus utama UniMAP dan rakan-rakan universiti di bawah Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).
Jelas beliau, TVET adalah proses pendidikan dan latihan yang mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri dengan matlamat utama menghasilkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang-bidang yang tertentu.
“Justeru, dengan adanya KPT, saya percaya, skop TVET akan lebih berfokus dan berlandaskan piawaian pekerjaan yang diiktiraf, dengan penekanan kepada komponen praktikal, kemahiran psikomotor dan penglibatan kepada latihan di industri,” ujarnya lagi.