- Category: BERITA - Malay
- Written by Aininulniza
COVID 19 : Anggap kekal di kampus sebagai pengorbanan - BH
Sumber : Berita Harian
KUALA LUMPUR: Penuntut yang diwajibkan terus tinggal di universiti masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa ketiga ini harus menganggap ia sebagai pengorbanan dalam perjuangan memerangi coronavirus (COVID-19).
Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Muhammad Haziq Azfar Ishak, berkata pihaknya memahami kehendak penuntut yang mahu bersama keluarga khususnya sempena kedatangan bulan Ramadan, namun mereka harus ingat bahawa komuniti manusia mempunyai kepentingan lebih besar iaitu menyelamatkan nyawa dengan memutuskan rantaian COVID-19.
Sehubungan itu katanya, setiap penuntut harus akur dan kekal tenang sepanjang berada di kampus kediaman dengan mengikuti setiap saranan diberikan pihak universiti dan kerajaan.
“Semua orang harus memainkan peranan masing-masing dalam peperangan ini termasuk penuntut, dengan kekal berada di kampus kediaman kerana kita ada kepentingan lebih besar selain ingin bersama keluarga.
“Justeru kita perlu menghormati keputusan kerajaan sebab fasa ketika ini amat penting sebagai penentu untuk memutuskan rantaian COVID-19 ini, ” katanya ketika dihubungi BH, di sini hari ini.
Pada masa sama, Muhammad Haziq berkata, pihak pengurusan universiti perlu menitikberatkan isu penting sepanjang keberadaan penuntut di kampus kediaman iaitu berkaitan kesihatan mental mereka.
Katanya, adalah penting untuk memastikan penuntut tidak mengalami gejala tertekan atau tekanan perasaan akibat dikuarantin selain berada jauh daripada keluarga.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Syahirunnisa Ramli, pula berkata ibu bapa diminta supaya tidak terlalu bimbang dengan keadaan anak mereka di kampus kediaman kerana kebajikan dijaga sebaiknya oleh pihak universiti.
Syahirunnisa berkata, keputusan dibuat kerajaan supaya penuntut tinggal di kampus kediaman sepanjang PKP adalah selari dengan majoriti kehendak golongan itu di UniMAP berikutan melalui kaji selidik dijalankan universiti mendapati kira-kira 60 peratus memilih untuk terus kekal.
“Mereka khususnya berasal dari pedalaman memilih untuk terus kekal di kampus kediaman berikutan kemudahan internet lebih baik berbanding di rumah untuk mengikuti kelas dalam talian dan ada juga mahu terus tinggal kerana menyedari bahawa kampung mereka berada dalam daerah zon merah, ” katanya.
Yang Dipertua Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohd Nazmi Akmal Rahman, pula berkata pihaknya memahami ada dalam kalangan penuntut berasa tertekan dan kecewa kerana tidak boleh berada bersama keluarga namun mereka harus bersabar kerana keputusan kerajaan adalah untuk kebaikan bersama.
Beliau berkata, pihaknya menghargai usaha UUM mengadakan pelbagai mekanisme untuk mengatasi masalah kesihatan mental khususnya dengan menyediakan kaunselor untuk penuntut membuat aduan.
“Kita boleh adakan pelbagai program namun pada akhirnya mereka tetap ingin bersama keluarga. Mungkin kerajaan boleh membenarkan mana-mana penuntut untuk pulang ke kampung asalkan daerah mereka adalah zon hijau COVID-19, ” katanya.