- Category: BERITA - Malay
- Written by Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Kenduri Naik Rumah Kolej Kediaman UniMAP Meriah
Pauh Putra, 24 Februari 2015 - Majlis “Kenduri Naik Rumah” Kolej Kediaman Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra berlangsung meriah dengan kehadiran naib canselornya bersama pengurusan tertinggi universiti.
Majlis yang diadakan sempena meraikan kemasukan pelajar ke kolej yang baharu dibuka itu turut dimeriahkan dengan kehadiran lebih 1,500 pelajar yang sudah mula berpindah masuk ke kolej tersebut.
Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin dalam ucapan aluannya berkata pihak pengurusan universiti sentiasa mengambil kira kebajikan dan keselesaan para pelajar dalam memastikan para pelajar UniMAP 100 peratus memperoleh kemudahan penginapan di dalam kampus.
“Pihak universiti sentiasa berusaha mencari inisiatif untuk meningkatkan servis penginapan dan Alhamdulillah satu lagi kolej kediaman dapat beroperasi berhampiran dengan Kampus Induk UniMAP ini iaitu Kolej Kediaman UniMAP Pauh Putra.
Apa yang lebih menarik, kedudukan kolej kediaman ini amat strategik kerana ia terletak berhadapan dengan pintu masuk ke Kampus Pauh Putra dan lokasi ini amat berdekatan dengan Pusat-Pusat Pengajian, dewan kuliah dan perpustakaan utama UniMAP,”katanya.
Beliau berharap dengan perpindahan para pelajar ke lokasi berhampiran dengan kampus UniMAP akan memudahkan anak-anak untuk ke kelas sekaligus meningkatkan semangat untuk terus memberikan pencapaian yang terbaik dalam pembelajaran,”katanya.
Menurut beliau lagi kolej tersebut sudah mula menerima pelajar pada 21 Februari 2015 lalu. Jumlah pelajar yang sudah mendaftar masuk adalah sebanyak 2010 orang yang terdiri daripada 1,375 lelaki dan 635 perempuan.
Pelajar yang terlibat adalah pelajar tahun 3 dan 4 dari lima pusat pengajian yang terdapat di Pauh Putra ini iaitu PPK Pembuatan, PPK Mekatronik, PPK Sistem Elektrik, PPK Mikroelektronik dan PPK Komputer dan Perhubungan,”kata Prof. Dr. Kamarudin.
UniMAP telah menyewa tiga blok apartmen lapan tingkat milik Bumita Properties Sdn Bhd dilengkapi dengan 3 bilik tidur, ruang makan, ruang tamu, 2 bilik air, ruang dapur dan ruang kawasan jemuran pakaian serta set perabot.
Jumlah pelajar yang dijangka dapat ditempatkan adalah seramai 2,367 orang pelajar untuk satu-satu masa dengan bilangan unit sebanyak 300 unit dan boleh menempatkan seramai 9 orang pelajar pada setiap unit apartmen.
Sementara sebahagian unit diberikan kepada Jabatan Hal Ehwal Pelajar bagi memudahkan pengurusan dengan pelajar-pelajar.