- Category: BERITA - Malay
- Written by Aininulniza
3,350 PENSANITASI TANGAN UNTUK PETUGAS BARISAN HADAPAN DI PERLIS
Oleh : Suhana Abd Mutalib
Arau - Universiti Malaysia Perlis melalui Pusat Pengajian Kejuruteraan Bioproses dan Pusat Kecemerlangan Penggunaan Biojisim bergabung tenaga menghasilkan 3,350 pensanitasi tangan untuk kegunaan petugas barisan hadapan dari kategori B40 di negeri Perlis sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa ketiga.
Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada projek Function of Science yang dikendalikan oleh Global Innovation through Science and Technology (GIST) yang melibatkan kerjasama beberapa buah universiti untuk membantu meringankan beban petugas yang berkhidmat menangani pendemic Covid-19.
Jelas beliau, menerusi program tersebut, kesemua universiti terlibat menerima tajaan bahan mentah daripada badan-badan korporat antaranya Lendlease, Yayasan MRCB, Tessolve Semiconductor, WWRC, Mayplas Packaging, Apical Scientific, MITR Mediservice dan Acme Chemicals.
“Di utara, UniMAP dan Universiti Utara Malaysia (UUM) merupakan antara universiti yang terpilih untuk menyediakan produk pensanitasi tangan tersebut selain Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Keseluruhan kandungan pensanitasi tangan yang dihasilkan telah diselaraskan di kesemua universiti dan mematuhi garis panduan yang diberikan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO),” ujar beliau.
Mengulas lanjut, Prof. R Badlishah berkata, UniMAP amat berbesar hati untuk menyumbang tenaga kerja sukarela dan fasiliti dalam menghasilkan pensanitasi tangan tersebut dan ia nyata bertepatan dengan cogan kata universiti iaitu Kejuruteraan dan Teknologi untuk Kemanusiaan.
Dalam konteks ini, ujar beliau, para penyelidik menggunakan kepakaran yang dimiliki untuk menghasilkan pensanitasi tangan dan pada masa sama menerapkan elemen kemanusiaan melalui edaran bahan tersebut secara percuma, terutama dalam kalangan petugas barisan hadapan yang memerlukan.
“Terima kasih juga buat kerajaan yang memberi kelonggaran kepada universiti untuk terus menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan berkaitan Covid-19 ini. Meskipun bertugas, para penyelidik UniMAP tetap mengutamakan penjarakan sosial.
Dalam pada itu, Pengarah GIST, Encik Murali Prasad berkata, program tersebut dimulakan selepas mendapati kesukaran mendapatkan bekalan pensanitasi tangan di pasaran sebaik sahaja PKP dilaksanakan.
Selain itu, harga pensanitasi tangan yang agak tinggi juga menyukarkan masyarakat terutama petugas barisan hadapan dalam kalangan B40 memilikinya sedangkan ia merupakan keperluan dalam situasi sebegini.
“Ini merupakan inisiatif termudah yang mampu kami laksanakan, khusus untuk menghargai petugas barisan hadapan dan masyarakat yang memerlukan,” ujarnya.