- Category: BERITA - Malay
- Written by Aininulniza
Pelajar Bukan Islam UniMAP Bantu Agih Makanan Sahur
Oleh : Aininulniza Mohd Yusof
PAUH PUTRA, 25 April – Dalam kesibukan kita menyambut Ramadan dengan suasana yang sederhana berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa Tiga, hampir 700 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turut tidak ketinggalan menikmati juadah bersahur pada hari pertama berpuasa, semalam.
Namun, yang lebih mengujakan, apabila pelajar-pelajar bukan Islam yang menginap bersama di penempatan berpusat di Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah dan Kolej Kediaman Tunku Abdul Rahman turut meraikan rakan beragama Islam lainnya dengan bersahur bersama-sama di kafeteria kolej.
Ternyata, kebersamaan yang wujud sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus diterjemahkan oleh pelajar-pelajar UniMAP meskipun pada bulan Ramadan yang lazimnya diraikan oleh umat Islam.
Salah seorang daripada mereka ialah Sharina Tiffanny Darias, 23, yang berasal dari Lawas, Sarawak yang menginap di penempatan itu sejak PKP fasa pertama yang menyifatkan peluang bersahur bersama rakan-rakan beragama Islam sebagai sesuatu yang menyeronokkan.
Menurut Tiffany yang juga pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Sistem Elektrik, dia ingin bersama-sama rakan meraikan bulan yang mulia di sisi umat Islam, justeru dia secara sukarela memilih untuk bertugas dalam membantu mengagihkan makanan sahur selain turut bersahur bersama-sama.
“Bagi saya, apa salahnya kita berbuat baik di bulan mulia ini dan sama-sama menyambutnya walaupun berbeza agama, kita perlu saling menyokong antara satu sama lain malah ia memberi satu pengalaman baharu kepada saya dan rakan-rakan bukan Islam yang lain.
“Secara tidak langsung juga saya dapat memanfaatkan masa yang ada di sini setelah tidak dapat pulang ke Sarawak kerana memikirkan risiko yang bakal dilalui sepanjang perjalanan pulang di samping keluarga saya juga menggalakkan untuk saya tinggal di kampus,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pelajar Sam Shao Qi, 21, juga tidak kekok bangun seawal pagi untuk bersama-sama rakan-rakan lain bersahur memandangkan telah melalui pengalaman tersebut semenjak dari alam persekolahan lagi.
Sam berkata ketika bersekolah sebelum ini, dia sudah terbiasa bergaul dengan rakan-rakan Islam yang menjalani ibadah puasa, menyebabkan dia juga turut sama berpuasa selain turut bersedia bangun awal pagi untuk bersahur.
“Cuma yang berbeza tahun ini ialah, kita berada dalam tempoh PKP dan pelajar-pelajar yang berada di asrama semuanya menerima bantuan makanan dari kerajaan justeru saya rasa bertanggungjawab membantu rakan-rakan membuat persiapan bersahur walaupun sekadar membantu mengagihkan makanan.
“Ia nyata berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya apabila semua pelajar bersahur mengikut waktu dan masa sendiri justeru pengalaman bersahur bersama-sama mereka sangat mengujakan.
Tambahan pula kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum dan agama, jadi haruslah sama-sama memahami budaya masing-masing,” katanya yang juga pelajar Kejuruteraan Mekanikal.
Tambahnya, walaupun berasal dari negeri Kedah, namun dia mengambil keputusan untuk sama-sama menginap di kampus agar keluarganya tidak terdedah dengan risiko sekiranya dia pulang ke rumah.
“Saya rindu keluarga saya, namun tidak mahu mengambil risiko sepanjang perjalanan bimbang terkena wabak Covid-19,” katanya.
Terdahulu, berikutan PKP yang bermula sejak 18 Mac lalu, 700 pelajar UniMAP mengambil keputusan untuk kekal menginap di kampus bagi membantu menangani wabak Covid-19 daripada terus menular.