- Category: BERITA - Malay
- Written by Fazemil
UniMAP Terima Geran Lebih RM10 Juta
Oleh ; Nurul Aida Othman
Pauh Putra, 2 November - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah menerima geran penyelidikan bernilai lebih RM10 juta baru-baru ini.
Ini adalah bagi 104 projek penyelidikan berimpak tinggi yang dipilih oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menerusi Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) Fasa 1/2020.
Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata ini merupakan kejayaan terbaik UniMAP kerana dari 291 projek yang dihantar, 35.7 peratus berjaya terpilih.
“Terima kasih kepada KPT kerana yakin dan meluluskan projek penyelidikan yang kita kemukakan untuk penilaian mereka itu.
“Ini adalah pencapaian paling tinggi dalam sejarah permohonan geran FRGS jika dibandingkan dengan pencapaian bagi dua tahun kebelakangan ini di mana pada 2018 hanya 62 permohonan berjaya dan pada 2019 pula sebanyak 87 projek diluluskan,” katanya ketika dihubungi.
Tambah beliau, pencapaian ini akan merancakkan lagi aktiviti penyelidikan dalam kalangan pensyarah untuk menghasilkan produk yang mampu memberikan manfaat pada masyarakat dan negara.
“Namun bagi pemohon yang gagal memperoleh geran FRGS kali ini, mereka masih berpeluang mendapatkan geran dalaman universiti dengan peruntukan dana sebanyak RM525 ribu dengan anggaran 40 projek penyelidikan.
“Antara geran yang ditawarkan adalah Mentorship Research Grant (Mentorship), Community Project Research Fund (COMPRES), Impact Research Fund (IMPRES), University - Private Matching Fund (UniPRIMA), dan Research Materials Fund (RESMATE),” katanya.
Ujar Prof Dr R Badlishah lagi, UniMAP keseluruhannya telah memperuntukan RM1 juta untuk aktiviti penyelidikan dan inovasi dan dibahagikan mengikut geran-geran yang telah dikenalpasti oleh RMC.
“Terdapat juga peruntukan berjumlah RM80 ribu bagi geran pra-komersial secara bersasar kepada 4 projek dan selebihnya bagi aktiviti penyelidikan yang lain.
“Saya berharap dengan adanya beberapa inisiatif yang dilaksanakan oleh universiti bagi penawaran geran akan menjadi pemangkin kepada penyelidik untuk bersama menyemarakkan aktiviti penyelidikan di fakulti masing-masing,” katanya.
Tambahnya lagi, penerima geran FRGS pada tahun ini juga telah menjadi penyumbang kepada pencapaian Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) dari segi ketua penyelidik (PI) dan jumlah geran kerajaan.
“Penyelidik perlu merancang awal agar dapat mencapai KPI geran FRGS dari pelbagai aspek seperti modal insan dan penerbitan jurnal kerana ia mampu menyumbang markah kepada MyRA.
“Tambahan pula RMC telah membangunkan UniMAP Research Assessment (UniRA) bagi membolehkan setiap fakulti, CoE dan Institut lebih jelas keperluan MyRA,” katanya.
Keputusan FRGS
2018
- 246 Permohonan dihantar
- 62 Permohonan Berjaya (25%)
- RM 5,228, 134.00
2019
- 296 Permohonan dihantar
- 87 Permohonan Berjaya(29.4%)
- RM 8,417,482.00
2020
-291 permohonan dihantar
- 104 permohonan berjaya (35.7%)
- RM 10,413.649.00