- Category: BERITA - Malay
- Written by Fazemil
Tiga Penyelidik UniMAP Raih Anugerah Khas Di MTE Edisi Khas Covid-19
Oleh : Nurul Aida Othman
Pauh Putra, 2 NOVEMBER - Tiga penyelidik Unversiti Malaysia Perlis (UniMAP) masing-masing merangkul tiga (3) anugerah khas pada Majlis Anugerah Inovasi Antarabangsa sempena Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) Edisi Khas - COVID-19 yang berlangsung baru-baru ini.
Mereka ialah Prof. Madya Dr. Mohd Shukry Abdul Majid bagi produk Protective Intubation Device; dan Prof Madya Dr. Shahriman Abu Bakar bagi produk Seri Perlis C19 Tactical Mobile Mass Disinfectant System For Emergency COVID19 Preventions yang masing-masing meraih Anugerah Inovasi Terbaik dan juga pingat emas.
Manakala anugerah khas ketiga iaitu Anugerah Khas Eurobusiness Haller disumbangkan oleh Dr. Noor Azizah Parmin bagi produk Microrna (MIRNA) Biosensor Diagnostic System For Early Detection of COVID-19.
Ketiga-tiga produk tersebut beserta lima lagi produk turut meraih pingat emas.
Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata semua produk yang dipilih ini adalah berfokus dan berkaitan dengan COVID-19.
“Produk-produk ini adalah antara produk yang memenangi pingat dalam pameran UniMAP iaitu EREKA dan pemilihan serta penetapan produk adalah mengikut kesesuaian pameran.
“Kita menghantar 15 produk penyelidikan dan setiap penyelidik perlu memuatnaik video pembentangan produk ke laman sesawang MTE dan dari situ ia akan dinilai oleh juri,” katanya ketika dihubungi.
Selain tujuh (7) emas, UniMAP juga turut merangkul empat (4) pingat perak dan tiga (3) gangsa.
Tambah R Badlishah, semua produk ini dikaji bagi membendung penularan wabak COVID-19 dan berharap melalui kajian yang lebih terperinci kesemua produk ini akan membantu masyarakat dan juga barisan hadapan (frontliner) dalam membasmi COVID-19.