- Category: BERITA - Malay
- Written by Fazemil
Bajet 2021 : Graduan Perlu Rebut Peluang Yang Disediakan Kerajaan
Oleh : Suhana Abdul Mutalib
Arau – Graduan lepasan universiti awam dan swasta perlu merebut peluang pekerjaan dan peningkatan kemahiran yang telah dirancang oleh kerajaan menerusi pembentangan Belanjawan 2021 yang dibentangkan hari ini.
Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, dalam situasi negara masih berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang turut memberi kesan kepada ekonomi negara, kegusaran utama pengurusan universiti ialah mengenai aspek kebolehpasaran graduan.
Jelasnya, apa yang diharapkan oleh pengurusan universiti sebaik sahaja graduan menamatkan pengajian ialah untuk mendapat pekerjaan yang setara dengan bidang yang telah dipelajari di universiti atau mendapat peluang yang lebih untuk meningkatkan kemahiran masing-masing.
“Melalui pengumuman yang dibuat sebentar tadi, kerajaan telah mengumumkan insentif bulanan kepada majikan swasta bagi setiap graduan baharu yang diterima bekerja, yang mana ia secara tidak langsung dapat menggalakkan majikan untuk menawarkan pekerjaan kepada graduan yang baru sahaja menamatkan pengajian.
“Tidak ketinggalan, peruntukan RM250 juta bagi menjayakan Program Perantisan Belia yang membolehkan graduan mendapat pendedahan awal pekerjaan juga diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh 50,000 graduan IPT,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Prof. R. Badlishah turut meminta graduan IPT terutama graduan UniMAP untuk menghubungi pihak universiti sekiranya berdepan dengan sebarang masalah berkaitan mendapatkan pekerjaan.
Ujarnya, UniMAP sendiri telah merencanakan pelbagai program meningkatkan kemahiran (upskilling) dalam membantu para graduan dengan kerjasama pelbagai sektor industri atau meningkatkan kemahiran dalam aspek pendigitalan dan ekonomi gig.
“Saban tahun UniMAP sentiasa menganjurkan Program Karnival Kerjaya Northern Industrial Career Development (NICE) namun disebabkan situasi pandemik ini semua perancangan terpaksa ditangguhkan seketika sebaliknya hanya memberi fokus kepada program secara dalam talian.
“Antara tumpuan UniMAP ialah meningkatkan kemahiran pendigitilan dan ekonomi gig yang memerlukan graduan berfikiran lebih kreatif menggunakan teknologi di hujung jari. Justeru saya melihat aspek ini berkait rapat dengan inisiatif menaik taraf kemudahan internet jalur lebar yang turut digariskan dalam Belanjawan 2021 hari ini.
“Apa yang penting sekarang, graduan perlu keluar dari zon selesa masing-masing dan merebut semua peluang ini untuk manfaat diri sendiri,” jelasnya.
Dalam pada itu, Prof. R Badlishah turut menyambut baik inisiatif kerajaan menyediakan peruntukan RM6 bilion bagi pemerkasaan program latihan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) yang turut selari dengan aspirasi UniMAP untuk melahirkan graduan TVET yang berdaya saing dan memenuhi aspirasi negara.