- Category: BERITA - Malay
- Written by Fazemil
UniMAP - PDRM Perkukuh Hubungan
Oleh: Mohd Khairul Effendi Che Wan
KANGAR, 27 November - Universiti Malaysia Perlis pererat hubungan di antara Polis Di Raja Malaysia dalam memastikan keamanan dan keselamatan di kampus terus terjaga.
Naib Canselor, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, sebagai sebuah universiti, kerjasama dengan PDRM amat penting dalam membendung aktiviti-aktiviti terlarang dalam kalangan pelajar dan staf.
“UniMAP kini mempunyai jumlah pelajar dan staf yang ramai, dan selain dari pengawalan pihak UniMAP, bantuan dari PDRM juga amat penting dalam menjaga keharmonian dan kesejahteraan warga UniMAP.
“Saya percaya, badan beruniform seperti Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) juga adalah platform terbaik dalam memastikan hubungan yang sedia terjalin terus terpelihara,” beliau berkata demikian pada majlis penutup Jalinan Muhibah UniMAP – PDRM Perlis (Latihan Menembak) bertempat di Lapang Sasar Tertutup Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Perlis. ACP. Baderulhisham Baharudin, Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Rizal Arshad, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni ACP/KS Prof. Dr. Mohd Fo'ad Sakdan yang juga Komandan Kor SUKSIS UniMAP.
Ia merupakan inisiatif penganjuran oleh Kor SUKSIS UniMAP dengan kerjasama PDRM Perlis.
Tambah Badlishah,program tersebut memberi peluang kepada Ketua Jabatan UniMAP untuk merasai pengalaman menembak dan mengendalikan senjata api.