- Category: BERITA - Malay
- Written by Fazemil
UniMAP Gondol 26 Pingat Di eCRI
Oleh : Nurul Aida Othman
PAUH PUTRA – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus cemerlang dalam penyelidikan apabila menggondol 26 pingat dalam eCarnival of Research and Innovation (eCRI) yang berlangsung baru-baru ini.
Pingat emas UniMAP diraih melalui tujuh (7) produk di mana salah satunya turut dinobatkan sebagai Best Award dan Best of the Best Award.
Produk tersebut iaitu Nanodevice For Arsenic Detection in Rice Grains – A Potential Screening Tool adalah hasil penyelidikan Dr. Muhammad Nur Aiman Uda dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) Kimia bersama kumpulan penyelidiknya.
Menurut Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) UniMAP, Prof. Ts. Dr. Mohd. Mustafa Al-Bakri Abdullah, penyertaan untuk menyertai eCRI terbuka kepada semua penyelidik UniMAP yang berminat.
“Pihak kami memberi kebebasan kepada penyelidik untuk menyertai karnival ini dan semua bentuk urusan bagi menyertai eCRI ini dilakukan sendiri oleh mereka tanpa bantuan daripada RMC,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Ujarnya lagi, UniMAP berbangga kerana hasil usaha para penyelidik sendiri bermula dari pendaftaran sehingga hari perbentangan telah membuahkan hasil yang amat memberangsangkan.
Selain Dr. Muhammad Nur Aiman, emas lain pula disumbangkan oleh Prof. Ts. Dr. Uda Hashim; Ts. Maizatul Nurul Bariah Ahmad; Ts. Dr. Umar Kassim dengan produk masing-masing iaitu Rapid Medical Dianostic Device For COVID-19 Detection; GSM Patient Heartbeat Monitoring System; dan Potentialof Acalypha Indica as Potent Antiseptic Alternative.
Manakala tiga lagi pingat emas adalah hasil kemenangan Ts. Dr. Kumuthawathe Ananda-Rao bagi produk Hybrid Energy Management System Controller fro Smart Energy Utilization; Dr. Khairul Farihan Kasim dengan produk Conceptual Model for Mamut Rice Classification; dan Dr. Syarifah Nuraqmar Syed Mahamud untuk produk Antistatpak Anti-Static Packaging from Poly (Hydroxybutyrate-Co-Hydroxyvalerate)
Selain pingat emas, UniMAP juga turut meraih enam (6) perak, dan 11 pingat gangsa serta dua (2) merit dalam karnival anjuran Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang diadakan secara dalam talian bermula 1 September 2020 dan berakhir 23 November 2020 lalu.