- Category: BERITA - Malay
- Written by Fazemil
30 Mahasiswa UniMAP Dilantik Ahli JPPM 2020/2021
Oleh : Nurul Aida Othman
PAUH PUTRA, 10 Disember - Seramai 30 mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dilantik menjadi ahli Jawatankuasa Pemilihan Pemimpin Mahasiswa (JPPM) bagi sesi 2020/2021.
Lantikan ini adalah bagi membolehkan proses pemilihan bagi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang bakal diadakan pada hujung bulan Januari 2021 nanti berjalan dengan lancar dan telus.
Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, UniMAP komited dalam memperkasakan pembangunan mahasiswa supaya turut berpeluang untuk mengangkat idealisme mereka sendiri.
“Memahami akan kepentingan ini, mahasiswa diberikan kebebasan menguruskan hal ehwal mereka sendiri di samping terlibat secara langsung dalam tadbir urus universiti.
“Transformasi ini adalah sebagai anjakan paradigma yang seiring dengan kecekapan teknologi dan kematangan mahasiswa,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Pemimpin Mahasiswa (JPPM) sesi 2020/2021 Universiti Malaysia Perlis.
Tambah Prof. Dr. R. Badlishah, mereka yang dilantik ini adalah insan-insan yang komited dalam menjalankan tugas mereka.
“Anda memiliki pengetahuan yang meluas dalam isu semasa; berpengalaman sebagai pemimpin kelab/persatuan; mampu berfikir diluar kotak.
“Malah mempunyai visi yang jelas bagi memastikan kejayaan dalam sesuatu program yang dilaksanakan,” katanya.
Beliau berharap mahasiswa yang dilantik akan menggunakan semua kriteria dimiliki sebaik mungkin bagi memastikan proses pemilihan MPP diadakan secara matang dan telus.