- Category: BERITA - Malay
- Written by Fazemil
86 PENYELIDIK UniMAP DIRAIKAN
Oleh : Nur Azizah Hasnin
PAUH PUTRA, 16 Disember – Seramai 86 penyelidik diraikan dalam Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Pameran dan Geran Penyelidikan UniMAP 2020 yang diadakan di Auditorium, Bangunan Canselori Kampus Alam UniMAP Pauh Putra, di sini, semalam.
Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, mereka adalah 75 penyelidik yang menyumbang pada International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX), Malaysia Technology Expo (MTE) dan Seoul International Invention Fair (SIIF).
“Walaupun tidak diadakan secara bersemuka tetapi pihak penganjur tetap mengadakan pameran penyelidikan secara dalam talian.
“Atas dasar menghargai semangat yang ditunjukkan oleh penyelidik UniMAP, kami mengambil keputusan untuk mengadakan majlis ini bagi meraikan jasa dan komitmen penyelidik,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Ujarnya, pada ITEX kali ini UniMAP telah memperolehi 30 pingat emas, 18 perak dan dua gangsa sekaligus merangkul golden award (anugerah emas) kerana meraih pingat emas terbanyak.
“Manakala di MTE 2020 Special Edition COVID-19, UniMAP memperolehi tujuh pingat emas, empat perak dan tiga gangsa serta satu pingat merit.
“Selain penyertaan dalam negara, UniMAP tahun ini turut menghantar 10 penyertaan ke SIIF 2020 yang berlangsung di Seoul, Korea dan memperolehi tujuh pingat emas dan satu pingat gangsa,” katanya.
Sementara itu, pada majlis sama turut diadakan penyampaian geran kepada 11 produk yang berjaya memperolehi keseluruhan dana berjumlah RM1,892,300.00 dengan pecahan geran LRGS berjumlah RM1,468,800; geran Penyelidikan Strategik Translational Research Grant (TRAM) sebanyak RM373,500; geran penyelidikan Loreal Unesco for Women of Science bernilai RM30,000; dan geran Pra-Pengkomersialan UniMAP berjumlah RM20,000.