- Category: BERITA - Malay
- Written by Aininulniza
MESRA SAHUR KOR SUKSIS UniMAP HARGAI PETUGAS KESELAMATAN NEGARA
OLEH : AININULNIZA BT MOHD YUSOF
ARAU, 3 Mei – Memahami petugas keselamatan dan kecemasan yang bertugas sepanjang malam sehingga awal pagi, Kor Sukarelawan Siswa/Siswi Polis (Kor SUKSIS) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyantuni mereka sempena Program Mesra Sahur 2021.
Program yang disertai 38 sukarelawan yang terdiri daripada pegawai, pelatih SUKSIS dan anggota Keselamatan UniMAP itu dengan memberi 150 pek makanan dari restoran makanan segera ke 15 lokasi terpilih di seluruh negeri Perlis.
Antaranya lokasi berkenaan ialah Sekatan Jalan Raya (SJR) Sempadan Kedah-Perlis, Balai Polis Arau, Pos Kawalan Sempadan Bukit Puteh Kuala Perlis, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Kurung Tengar, JPAM Negeri, Balai Bomba Kangar dan balai-balai polis dan bomba yang lain.
Pengarah Program Mesra Sahur 2021, Konstabel SUKSIS Mohamad Haziq Mohamad Razi berkata program tahunan itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelatih terhadap pengorbanan petugas keselamatan dan kecemasan negara.
“Mereka menjalankan tanggungjawab tanpa mengira masa terutamanya bulan Ramadan bagi memastikan keselamatan kita semua,justeru SUKSIS dan UniMAP berhasrat menghargai mereka menerusi program ini.
“Selain itu, secara tidak langsung kita mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh pasukan barisan hadapan tambahan ketika bertugas dengan cabaran pandemik COVID-19,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Program berkenaan turut disertai Komandan Kor SUKSIS UniMAP, ACP/KS Prof. Dr. Mohd Fo'ad Sakdan, Timbalan Komandan (Pengarah Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar) SUPT/KS Prof. Madya Ts. Muzammil Jusoh, Pengarah Keselamatan UniMAP DSP/KS Mustaffa Ismail, Penyelaras Kor SUKSIS UniMAP ASP Mohd Shahrizal Rashid dan Penasihat Kelab SUKSIS UniMAP.ASP/KS Raja Shah Erman Raja Arifin.
Tambah Mohamad Haziq, program berkenaan juga dapat memupuk nilai-nilai murni serta merapatkan ukhuwah antara universiti dan agensi keselamatan negara.
“Ketika menyantuni mereka, kami berpeluang mendengar pengalaman mereka sepanjang bertugas khususnya mereka yang bertugas berhampiran sempadan negara,” katanya.