- Category: BERITA - Malay
- Written by Aininulniza
UniMAP ADAPTASI IR4.0 DALAM KURIKULUM
Oleh : Nurul Aida Othman
PAUH PUTRA, 9 Jun - Dalam situasi dunia kini yang dipengaruhi ledakan teknologi dan globalisasi melalui pengadaptasian Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), telah dilihat memberikan kesan langsung kepada corak pasaran kerja semasa.
Ini kerana IR4.0 menekankan teknologi pembuatan pintar (smart manufacturing) dan penyelesaian masalah kompleks telah menyebabkan penurunan permintaan tenaga buruh bagi sektor-sektor tertentu.
Atas dasar itu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah berinisiatif dengan mengadaptasikan elemen-elemen IR4.0 dalam kurikulum akademiknya bagi menyeimbangi keperluan tenaga kerja manusia.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Rizal Arshad, UniMAP turut menubuhkan University Competence Center (UCC) bagi memastikan aktiviti akademik bersama industri ditingkatkan melalui persijilan professional, penyeliaan projek tahun akhir bersama industri, latihan industri, sumbangan peralatan industri dan program lain bersama industri.
“Hasilnya tahap kebolehpasaran graduan (GE) UniMAP mengikut kaji selidik Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG2.0) oleh KPT untuk tahun 2020 adalah amat membanggakan kerana UniMAP berjaya mencatat 87.9% dan melebihi purata GE Kebangsaan,” katanya pada majlis perasmian Kerjaya e-NORTHERN INDUSTRIAL CAREER ENGAGEMENT (e-NICE 6) 2021 yang berlangsung secara dalam talian mulai 8 Jun hingga 25 Jun ini.
Turut hadir adalah Ketua Bahagian Kerjaya dan Keusahawanan, Pusat Keusahawanan, Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Madya Dr. Shafriza Nisha Bin Basah dan wakil-wakil industri.
Tambah Prof. Dr. Rizal yang juga menjalankan fungsi Naib Canselor UniMAP, GE ini merujuk kepada 2,236 daripada 2,544 graduan atau 63.7% telah bekerja dan 3.1% menunggu penempatan pekerjaan, manakala 14.8% melanjutkan pengajian dan 6.3% meningkatkan kemahiran.
“Ini sekaligus menunjukkan 63.7% graduan yang telah bekerja dan 3.1% sedang menunggu penempatan pekerjaan diterima oleh pihak industri walaupun negara kita masih di dalam pandemik COVID-19.
“UniMAP juga sedar akan cabaran pandemik COVID-19 ini dan akan bertindak proaktif dengan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan,” katanya.
Antara inisiatif lain adalah dengan membangunkan sistem E-Portfolio UniMAP untuk kegunaan bakal graduan dan penawar pekerjaan.
“Bakal graduan boleh menggunakan sistem E-portfolio ini untuk menjana E-Resume yang komprehensif dan memohon pekerjaan yang diinginkan, manakala pihak majikan pula dapat menggunakan sistem ini untuk mencari calon-calon pekerja yang sesuai.
Ujar beliau lagi, sistem E-Portfolio adalah platform terbaik berdasarkan konsep permintaan dan penawaran terhadap pelajar dan syarikat dalam industri yang memberi autoriti kepada industri untuk menilai resume pelajar dan mengaturkan sesi temuduga semasa pelajar masih dalam pengajian.
Sementara itu, e-NICE 6 adalah karnival kerjaya yang dianjurkan sebagai platform yang memberi ruang dan peluang kepada pelajar tahun akhir UniMAP untuk memohon pekerjaan.