- Category: BERITA - Malay
- Written by Aininulniza
e-NICE 6 BANTU GRADUAN PEROLEH PEKERJAAN
Oleh: Nurul Aida Othman
PAUH PUTRA, 9 Jun - Walaupun sudah lebih setahun Malaysia dilanda COVID-19 yang menjejaskan perkembangan pelbagai sektor dalam negara, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tetap meneruskan usaha agar bakal graduannya mendapat tempat dalam sektor pekerjaan.
Ini dapat dilihat melalui penganjuran Kerjaya e-NORTHERN INDUSTRIAL CAREER ENGAGEMENT (e-NICE 6) 2021 yang berlangsung secara dalam talian mulai 8 Jun hingga 25 Jun ini dengan sasaran lebih 3000 penyertaan.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Rizal Arshad, penganjuran karnival kerjaya ini sememangnya telah menjadi agenda perdana UniMAP dalam usaha menyediakan platform, ruang dan peluang kepada pelajar tahun akhir UniMAP untuk memohon pekerjaan.
“Secara keseluruhan, jumlah pelajar tahun akhir yang bakal bergraduat bagi tahun 2021 adalah seramai 3207 orang dengan pecahan Doktor Falsafah dan Sarjana 300 orang; Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan adalah seramai 1304 dan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan seramai 522.
“Manakala seramai 677 pelajar pula adalah dari Sarjana Muda Perniagaan dan Sarjana Muda Komunikasi manakala seramai 404 pelajar dari Pengajian Diploma,” katanya pada majlis perasmian e-NICE 6.
Turut hadir adalah Ketua Bahagian Kerjaya dan Keusahawanan, Pusat Keusahawanan, Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Madya Dr. Shafriza Nisha Bin Basah dan wakil-wakil industri.
Tambah Prof. Dr. Rizal yang juga menjalankan fungsi Naib Canselor bahawa UniMAP sangat gembira dengan penyertaan dari pelbagai sektor industri walaupun dalam situasi pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“UniMAP juga telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) serta mengadakan kerjasama bersama Prosple, sebuah syarikat dari Australia yang bertindak mengumpul peluang pekerjaan dari serata dunia.
“Prosple juga berbesar hati untuk berkongsi beberapa maklumat berkaitan peluang pekerjaan di Australia bersama pelajar UniMAP selepas ini,” katanya.
Ujarnya lagi, selain dari mencari pekerjaan, pelajar-pelajar juga berpeluang menghadiri ceramah kerjaya dari beberapa syarikat dan industri yang mengambil bahagian dalam sesi “Career Talk” dan menyeru semua pelajar untuk tidak melepaskan peluang keemasan ini.