- Category: BERITA - Malay
- Written by Fazemil
UniMAP - ILMA UNIVERSITY TANDATANGANI MoU
Oleh: Nurul Aida Othman
PAUH PUTRA, 8 Julai - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hari ini telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman bersama ILMA University Pakistan secara dalam talian.
UniMAP diwakili Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Rizal Arshad manakala ILMA pula diwakili Naib Canselor, Prof. Dr. Mansoor uz Zafar Dawood.
Menurut Prof. Dr. Rizal yang menjalankan fungsi Naib Canselor UniMAP, MoU ini adalah persedian kepada kedua-dua universiti untuk memastikan pelajar dan staf bergerak aktif dan bersedia dalam menghadapi masa depan yang tidak menentu.
“Kehidupan kita kini berbeza dengan perubahan teknologi serta jangkaan separuh dari aktiviti pekerjaan akan dilaksanakan secara automatik menjelang 2055 yang secara langsung akan mencipta peranan, tanggungjawab dan cabaran baharu dalam bidang pekerjaan.
“Kita tidak boleh meramal apa yang bakal graduan kita perlukan apabila bergraduasi kelak, oleh itu saya berharap kolaborasi ini nanti akan berfokus kepada keusahawanan yang berperanan untuk mengajar mereka teknik penting untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara UniMAP dan ILMA University Pakistan.
Tambah Prof. Dr. Rizal lagi, teknik ini termasuk menyelesaikan masalah; kerja berpasukan; empati; dan belajar menerima kegagalan sebagai sebahagian proses yang mendewasakan mereka serta menggunakan teknik pemikiran kreatif bagi menyelesaikan masalah dalam kehidupan.
“UniMAP komited dengan kerjasama ini dan bersedia untuk berkongsi kepakaran, ilmu dan teknologi; serta memantapkan tenaga kerja profesional dan juga akademik.
“Malah UniMAP juga akan menyertai program promosi, latihan, dan pembangunan pelajar dan staf serta apa-apa program yang bakal dianjurkan secara kolaborasi dari semasa ke semasa.
Beliau juga berharap program dan aktiviti yang bakal dilaksanakan nanti akan menyokong sasaran pendidikan antarabangsa sekaligus membantu pelajar untuk menyesuaikan diri dalam situasi global yang mencabar sekarang ini.