- Category: BERITA - Malay
- Written by Aininulniza
AIDILADHA : UniMAP KORBAN 30 HAIWAN DENGAN ALTERNATIF POTONGAN GAJI
OLEH: USTAZ MUHAMMAD ADIB HJ HASSAN & AININULNIZA MOHD YUSOF
KANGAR, 22 Julai – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencipta sejarah tersendiri apabila 30 ekor haiwan dikorbankan di Program Ibadah Korban dan Akikah 2021 universiti itu yang berlangsung hari ini.
Jumlah berkenaan adalah yang tertinggi pernah dicatatkan iaitu membabitkan 13 ekor lembu dan 17 ekor kambing dengan 85 peratus daripadanya melalui kaedah potongan gaji yang bermula sejak Ogos 2020 termasuk seekor lembu yang disumbangkan salah seorang pengurusan tertinggi universiti itu.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antabangsa) UniMAP Prof Ir Dr Mohd Rizal Arshad berkata UniMAP melaksanakan ibadah berkenaan di tapak sembelihan swasta, Mata Ayer di sini mengikut Prosedur Standard Operasi (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.
Katanya, program ibadah korban berkenaan adalah amalan tradisi yang diadakan sejak 2004 oleh UniMAP menerusi Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) manakala kaedah potongan gaji sebagai salah satu alternatif kakitangan melaksanakan ibadah itu.
“Seramai 80 kakitangan menggunakan kaedah ini sekaligus mendorong mereka dapat melaksanakan ibadah korban dengan potongan gaji kira-kira RM70 setiap bulan,” kata beliau yang juga menjalankan fungsi Naib Canselor.
Turut hadir pengurusan tertinggi UniMAP dan Pengarah PIMPIN UniMAP, Muhamad Adib Hassan.
Tambah beliau, UniMAP turut menggunakan tenaga profesional yang komited setiap tahun bagi melakukan aktiviti menyembelih, melapah dan mengagih termasuk kerjasama jabatan serta fakulti di UniMAP malahan bagi tahun ini ia diagihkan secara bergilir-gilir agar SOP dapat dipatuhi dengan sebaiknya.
“Agihan daging kali ini juga diagih ke beberapa kolej kediaman UniMAP bagi pelajar yang tidak pulang ke kampung sempena cuti Aidiladha, selain petugas,maahad tahfiz dan golongan asnaf tempatan di kawasan yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Ibadah Korban dan Akikah 2021 UniMAP,” kata beliau.
Antara Maahad Tahfiz (MT) yang menerima agihan berkenaan ialah MT Nawawi, MT Al-Hikmah, MT Al Quran Ar Raudhah, MT Al Bayan, dan MT Al Masyhur dengan anggaran 20 kilogram daging setiap maahad.
Sementara itu, Muhamad Adib berkata pihaknya melahirkan rasa syukur di atas penglibatan staf yang sanggup membuat potongan gaji semata-mata untuk menzahirkan rasa semangat ‘Udhiyyah’.
“Lebih menarik, ada dalam kalangan kakitangan yang konsisten membuat potongan gaji setiap tahun bagi melaksanakan ibadah ini dan seharusnya dapat dijadikan contoh kepada kakitangan dan orang lain.
“Semoga dengan penyertaan ini akan diampunkan dosa dan dimurahkan segala rezeki seperti yang telah disabdakan Nabi SAW. Ini kerana semangat ibadah korban perlu dizahirkan dengan roh untuk sentiasa mendekatkan diri kita dengan Maha Pencipta,” kata beliau.