- Category: BERITA - Malay
- Written by Aininulniza
SAMBUTAN 20 TAHUN PENUBUHAN, UniMAP TEKAD LAHIR GRADUAN BERKUALITI
Pauh Putra, 25 Julai – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan terus komited dalam melahirkan graduan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi menyediakan tenaga berkemahiran teknikal untuk masa depan negara seiring usia 20 tahun penubuhannya, hari ini.
Universiti itu yang ditubuhkan pada 25 Julai 2001 dengan nama Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) sebelum dijenamakan kepada Universiti Malaysia Perlis pada 1 Februari 2007 adalah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ke-17 negara dengan objektif bagi melahirkan jurutera berkemahiran tinggi dan kompeten bagi memenuhi dan menyokong Pelan Perindustrian Negara.
Bagi memastikan ia dapat direalisasikan, lima teras utama yang diterapkan dalam Pelan UniMAP 2025 iaitu meliputi pemerkasaan akademik, penyelidikan dan inovasi, kesejahteraan mahasiswa, pengantarabangsaan dan libatsama, serta pembangunan komuniti terus dititikberatkan dan diperkasakan.
Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UniMAP yang juga menjalankan fungsi Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Rizal Arshad berkata sebagai salah sebuah dalam rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), UniMAP turut mendukung agenda TVET negara yang memberi fokus kepada penyediaan tenaga pakar bidang-bidang teknologi terpilih yang dapat memenuhi keperluan industri.
Ujarnya, hala tuju kemakmuran negara kini terletak sepenuhnya pada kemampuan dan keupayaan menghasilkan graduan berkualiti dan berkemahiran tinggi berlandaskan agenda TVET yang memenuhi keperluan pasaran tenaga serta berkemampuan mewujudkan sumber pendapatan sendiri.
“Pandemik COVID-19 telah memberi impak yang besar kepada dunia dan UniMAP sendiri, tetapi ia juga telah menjadi faktor yang membentuk pola penilaian dan paradigma baharu dalam sistem tadbir urus di UniMAP.
“UniMAP kini berfokus kepada Pelan UniMAP 2025 yang telah dimasukkan 12 sasaran baharu di antaranya meliputi Pembangunan Kerangka Pendidikan Fleksibel UniMAP; Penyelarasan Sesi Akademik; Penawaran Pendidikan Sepanjang Hayat melalui Program Eksekutif dan Profesional; Penubuhan Pusat Asasi Teknologi Kejuruteraan; Pemerkasaan Keterlihatan Antarabangsa melalui UniMAP@Global; Pembentukan Kerusi Akademik dan Penyediaan Laluan Pemeringkatan Kerjaya Akademik” katanya.
Ujar beliau, UniMAP juga akan melaksanakan perubahan bagi Technopreneur Ecosystem Immersion in Curriculum; Program Mobiliti pelajar Sarjana Muda dan Sarjana; mengaplikasi Good Governance dan Procedure Compliance di dalam semua proses pentadbiran.
“UniMAP berhasrat untuk melaksanakan penambahbaikan terhadap sistem dalam UniMAP bagi mengharungi cabaran dan kekangan akibat pandemik COVID-19”
“Kita tidak tahu berapa lama akan berhadapan dengan pandemik ini tetapi melalui pelan UniMAP 2025 ia akan memastikan graduan yang dihasilkan adalah relevan dengan keperluan masa dan mampu mengharumkan nama UniMAP yang kini berusia 20 tahun,” katanya.
Dalam pada itu, Prof Mohd Rizal berkata bagi meraikan Sambutan 20 Tahun Penubuhan UniMAP, pelbagai program bulanan telah dirancang sebagai simbolik sambutan, namun berikutan pandemik COVID-19 program yang akan dilaksanakan menggunakan pendekatan hibrid.
Tambah beliau, tema Teknologi-Transformasi-Komuniti, lagu Dua Dekad Tradisi Gemilang, logo dan tanda pagar #tradisigemilang juga akan digunakan sempena meraikan sambutan berkenaan bagi tempoh satu tahun bermula hari ini hingga 25 Julai 2022.
Malah menyingkap keutuhan dan semangat yang ada pada UniMAP hari ini adalah hasil sokongan tidak berbelah bahagi oleh Tuanku Canselor Tuanku Syed Faizuddin Jamalullail yang juga Raja Muda Perlis dan Tuanku Pro Canselor Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Raja Puan Muda Perlis.
“Baginda berdua sentiasa berusaha membantu UniMAP untuk berada di tahap sekarang malah menjadi penghubung bagi hubungan komuniti tempatan antarabangsa yang telah kita jalinkan.
Terlalu banyak jasa yang telah diberikan oleh Tuanku berdua sehingga UniMAP kini mampu berbangga dengan pencapaiannya dalam pelbagai bidang,” katanya.
Selain itu, beliau turut melahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada sumbangan dan jasa pemimpin-pemimpin UniMAP sebelum ini yang telah meninggalkan legasi kerja yang cemerlang sekaligus membolehkan UniMAP berada di tahap yang baik selepas 20 tahun.