A+ A A-

13 PEGAWAI TERIMA ANUGERAH PENTADBIR UniMAP 2021

Oleh: Nurul Aida Othman

PAUH PUTRA, 20 Ogos - Seramai 13 pegawai dalam kalangan pengurusan dan profesional dipilih sebagai penerima Anugerah Pentadbir UniMAP 2021 dalam tiga kategori, baru-baru ini.

Mereka dipilih berdasarkan pencapaian dan sumbangan dalam pelbagai aspek melalui Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (POTENSI).

Anugerah tertinggi iaitu Anugerah Pentadbir Gemilang dianugerahkan kepada Pegawai Sains, Norazam Abdul Rashid dan kedua tertinggi ialah Anugerah Pentadbir Cemerlang dinobatkan kepada Pegawai Tadbir, Ahmad Zulazmeer Rozali.

Kedua-dua mereka masing-masing menerima insentif hadiah latihan berjumlah RM3000 dan RM2000 yang melayakkan mereka untuk menyertai program atau kursus bersesuaian dalam tahun semasa.

Naib Canselor UniMAP, Lt Kol Prof. Ir. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, UniMAP sentiasa menghargai dan mengiktiraf semua staf kerana staf adalah aset berharga kepada universiti ini.

 

“Tambahan pula dengan budaya kerja cemerlang, komitmen dan jasa yang diberikan oleh warganya, sudah pasti pengiktirafan dan penghargaan yang sewajarnya akan diberikan.

“Saya kira amat bertepatan Anugerah Pentadbir UniMAP dilaksanakan bagi menggalakkan pentadbir memberikan komitmen dan daya usaha untuk membuktikan kompetensi diri masing-masing yang secara tidak langsung akan mendorong penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada universiti,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam Malaysia peringkat UniMAP dan Anugerah Pentadbir UniMAP 2021 secara hybrid, di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, pengiktirafan dan penghargaan seumpama ini akan menjadi pendorong dan menaikkan semangat para pentadbir untuk menyampaikan perkhidmatan yang lebih berkualiti, seterusnya menjadi role model dan mentor terbaik kepada warga lain.

“Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada pentadbir UniMAP yang turut diiktiraf dan dianugerahkan pelbagai anugerah atas pencapaian luar biasa dalam meneruskan tradisi kegemilangan UniMAP.

“Kita berbangga mempunyai pentadbir yang mempunyai kepercayaan dan jaringan di peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa dan ia sebenarnya juga pengiktirafan kepada UniMAP,” katanya.

Selain dua anugerah utama tersebut, anugerah lain yang diberikan adalah Anugerah Pentadbir Cemerlang dengan lapan (8) penerima iaitu Jasni Hashim (Jurutera) bagi kategori Khidmat Komuniti; Ts. Mohamad Nasri Mat Isa @ Mat Saat (Pegawai Teknologi Maklumat) kategori Inovasi; Muhammad Hidham Haris (Pegawai Tadbir) untuk kategori Pakar Rujuk/Konsultansi; Syeamarsyeta Ahamad (Pegawai Belia dan Sukan) dalam kategori Sukan; dan Dr. Ruswahida Ibnu Ruslan (Pegawai Tadbir) dalam kategori Penyelidikan.

Tiga penerima lain iaitu Nasrul Che Ali dan Nurul Asyikin Fadzil masing-masing menerima anugerah bagi kategori Pengarah Harapan Program/Aktiviti POTENSI Terbaik bagi Kayuhan Patriot Perlis/Kedah (2020) dan The Nature of Kindness Taiping (2018); manakala Raja Shah Erman Raja Arifin adalah penerima untuk kategori Pengarah Program/Aktiviti POTENSI Terbaik masing-masing.

Tiga program anjuran POTENSI iaitu Volunteer and Corporate Responsible (VCORE) Perlis (2015); Misi Kemanusian (Ops Pasca Banjir Kelantan Fasa 2) (2014); dan International Seminar on University Management (ISUM) Bangkok (2019) dipilih sebagai penerima bagi kategori Program/Aktiviti POTENSI Terbaik.

Anugerah Pentadbir Cemerlang adalah majlis kemuncak POTENSI sempena sambutan tersebut selepas menganjurkan dua program lain iaitu Kolokium Pentadbir UniMAP dan International Seminar on University Management (ISUM 2) yang dijalankan selama 4 hari.