- Category: BERITA - Malay
- Written by Fazemil
LAMAN MERDEKA UniMAP SEMARAKKAN HARI KEBANGSAAN KE-64
Oleh: Nurul Aida Othman
PAUH PUTRA, 30 Ogos - Situasi COVID-19 hari ini tidak menghalang Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke - 64 yang bakal disambut esok.
Mereka membina satu ruang dikenali sebagai Laman Merdeka UniMAP bertempat di Tasik Alumni UniMAP, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra, di sini, petang tadi.
Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata ini merupakan kali kedua Hari Kebangsaan disambut dalam norma baharu dan secara bersederhana.
“Walaupun kita tidak dapat mengadakan sambutannya secara besar-besaran tetapi ingatan dan semangat patriotisme kita tidak berkurangan.
“Saya percaya dengan wujudnya laman ini kita dapat juga menzahirkan semangat patriotisme warga UniMAP walaupun dalam keadaan yang sederhana,” katanya ketika melancarkan laman tersebut sempena Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan ke-64.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan; dan Pengarah Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar (P3P), Prof. Madya Dr. Muzammil Jusoh.
Prof. Dr. Zaliman turut menzahirkan penghargaan atas idea pembinaan laman ini yang dicetuskan oleh pelajar MPP sendiri.
“Saya dimaklumkan objektif Laman Merdeka ini adalah untuk menanam rasa bangga dan menghormati Jalur Gemilang sebagai lambang kedaulatan negara dalam kalangan Keluarga UniMAP.
“Malah, Laman Merdeka ini diharap dapat memperkukuhkan semangat perpaduan antara kaum dan integrasi nasional sekaligus memantapkan UniMAP sebagai juara perpaduan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah program yang juga Exco Prasarana dan Kelestarian Kampus MPP UniMAP, Muhammad Afnan Arzahari ketika ditemui berkata laman merdeka adalah kawasan untuk menghayati semangat kemerdekaan dengan mempamer dan mengibarkan jalur gemilang di sepanjang laluannya.
“Saya berbangga walaupun dalam masa dua hari, kami berjaya mempersiapkan tempat ini sebagai simbolik sambutan Hari Kebangsaan ini.
“Laman Merdeka ini menempatkan kata-kata hikmah daripada pemimpin negara yang mempamerkan kekuatan, perpaduan, kemajuan dan kemakmuran rakyat Malaysia,” katanya.
Tambahnya lagi, pembinaan laman ini juga adalah bagi memperkukuhkan semangat perpaduan antara kaum dan integrasi nasional serta memperlihatkan UniMAP sebagai juara perpaduan.
“Kami ingin menyuntik dan menyemai semangat kemerdekaan dan nilai patriotisme dalam kalangan mahasiswa dan kakitangan universiti di samping menyemarak dan memeriahkan suasana sambutan bulan kemerdekaan di peringkat UniMAP,” katanya.