- Category: BERITA - Malay
- Written by Fazemil
20 STAF PELAKSANA UniMAP DINAIKKAN PANGKAT
Oleh: Nurul Aida Othman
PAUH PUTRA, 8 September - Seramai 20 staf Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang dinaikkan pangkat diraikan dalam Majlis Penyerahan Surat Tawaran Staf Kumpulan Pelaksana Secara Time Based Berasaskan Kecemerlangan Tahun 2021, pagi tadi.
Mereka terdiri daripada jawatan Penolong Jurutera JA29 ke JA36 (seorang); Pembantu Tadbir (P/O) N22 ke N26 (seorang); P/O N19 ke N22 (14 orang); Juruteknik Komputer FT19 ke FT22 (seorang); dan Pengawal Keselamatan KP11 ke KP14 (tiga orang).
Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata kenaikan pangkat ini adalah berdasarkan prestasi cemerlang mereka dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.
“Kenaikan pangkat ini datangnya bersama tanggungjawab dan amanah yang lebih besar serta cabaran-cabaran yang bakal dihadapi juga bertambah dan berbeza daripada sebelumnya.
“Harapan saya, semua staf dapat melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan ini dengan penuh jujur, ikhlas dan berintegriti,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Turut hadir ialah Pendaftar UniMAP, Haji Mohd Saad Din; dan Bendahari UniMAP, Rusdi Puteh.
Tambah Prof. Dr. Zaliman lagi, dalam menghadapi cara bekerja norma baharu staf perlu melengkapkan diri dengan nilai tambah seperti kepakaran dalam bidang teknologi.
“Malah bagi melengkapi nilai tambah ini, staf harus berupaya berfikir secara kreatif dan kritis serta mampu membuat keputusan dengan cepat, tepat dan bijaksana.
“Malah staf perlu mempertingkatkan usaha-usaha menimba ilmu kerana ilmu menjadikan kita lebih baik dari orang lain,” katanya.
Malah beliau turut menyeru staf UniMAP untuk terus mempraktik dan meningkatkan sikap semangat cinta kepada universiti.
“Staf perlu peka hal ehwal semasa universiti, perancangan dan hala tuju universiti seperti perkara berhubung sambutan 20 tahun penubuhan UniMAP, pelan strategik UniMAP dan pencapaian terbaharu UniMAP.,” katanya.
Beliau berharap semangat cinta dan keinginan untuk menyumbang kepada universiti akan dipertingkatkan agar dapat terus menabur khidmat bakti kepada universiti.
Terdahulu, seramai 19 staf kumpulan pelaksana dari pelbagai skim telah dinaikan pangkat dan diraikan dalam satu majlis khas yang diadakan pada 12 April 2021 lalu.