- Category: BERITA - Malay
- Written by Fazemil
UniMAP MEMETERAI MEMORANDUM PERJANJIAN DENGAN IIB DARMAJAYA INDONESIA
Oleh: Nurul Aida Othman
PAUH PUTRA, 17 September - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memeterai Memorandum Perjanjian bersama Institute of Informatics and Business (IIB) Darmajaya, Lampung Indonesia, pagi tadi.
UniMAP diwakili Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli dan IIB Darmajaya oleh Timbalan Rektor (Akademik dan Penyelidikan), Dr. R. Z. Abdul Aziz.
Prof. Dr. Zaliman berkata, perjanjian ini membolehkan kedua-dua universiti ini bekerjasama dalam bidang penyelidikan untuk tempoh satu tahun berfokuskan bidang rangkaian komunikasi komputer dan keusahawanan.
“Kerjasama ini menyokong 17 Sustainable Development Goals (SDGs) di bawah Agenda Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2030 yang mewartakan lima dimensi (5P) iaitu orang (people); kekayaan (prosperity); perkongsian (partnership); planet; dan aman (peace).
“Ini bagi membantu pelajar dan pendidik untuk mengatasi cabaran sebagai usaha memenuhi keperluan pendidikan tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya dalam ucapan aluan pada majlis tersebut yang diadakan secara dalam talian.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Dr. Rizalfande Che Ismail; dan Timbalan Rektor (Kewangan dan Sumber Manusia), Ronny Nazar.
Tambah beliau, kerjasama ini akan melihat isu permasalahan termasuk mengenal pasti teknik berkesan untuk menyelesaikan masalah penapisan kolaboratif; dan menentukan isu distributed denial of services network attack (DDoS) dengan membandingkan mesin pengajaran klasifikasi algoritma.
“Kita akan cuba memperkembangkan kejayaan dalam bidang keusahawanan bagi kalangan graduan usahawan tani di Malaysia dan Indonesia.
“Malah kerjasama ini telah berjaya menarik dana sebanyak RM30,000 bagi membiayai perbelanjaan penyelidikan ini dan dana yang disumbangkan oleh setiap penyelidik akan dimanfaat untuk Scopus dan penerbitan bahagian buku,” katanya.
Ujar Prof. Dr. Zaliman, UniMAP komited berkongsi kepakaran, pengetahuan dan teknologi; program dan aktiviti; latihan dan pembangunan pelajar dan staf; serta kerjasama dalam bidang lain yang bersesuaian dari masa ke masa.
Sementara itu, Dr. R. Z. Abdul Aziz melahirkan kegembiraan dengan termeterainya MoA ini yang dilihat sebagai langkah bagi menyatukan pendidikan antarabangsa sekaligus menghubungkan komuniti dan bangsa.
“Kerjasama ini adalah satu komitmen bagi membina perkongsian hebat dalam mempromosikan kolaborasi antarabangsa melalui novel dan penyelidikan dalam kalangan penyelidik antarabangsa.
“IIB Darmajaya juga berhasrat untuk bekerjasama dengan lebih banyak universiti bertaraf dunia bagi memperkasakan aktiviti pendidikan dalam era globalisasi ini,” katanya.