- Category: BERITA - Malay
- Written by Fazemil
PERJANJIAN PELESENAN UniMAP-NASWIRA BAGI MESIN PENGKELASAN HARUMANIS
Oleh: Aininulniza Mohd Yusof
PAUH PUTRA, 8 Oktober 2021 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Naswira Enterprise menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bagi pelesenan Mesin Pengkelasan dan Pengredan Automasi Buah Mangga Harumanis.
UniMAP diwakili Naib Canselornya, Prof Ts. Dr. Zaliman Sauli manakala Naswira Enterprise diwakili Pengarahnya, Mohammad Nasrun Saad.
Prof Ts. Dr. Zaliman berkata sebelum ini UniMAP telah berkolaborasi dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sejak 2018 bagi menyelesaikan masalah-masalah berkaitan buah Mangga Harumanis yang merupakan produk signature negeri Perlis.
Ujarnya, sehubungan itu pada 2020 sekumpulan penyelidik UniMAP diketuai Ts. Dr Fathinul Syahir Ahmad Saad dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik (FTKE) bersama Ts Dr Noor Shazliana Aizee Abidin, Dr Mohamad Khairul Bin Ali Hassan dan Mohd Firdaus Ibrahim berjaya mendapatkan dana dari FAMA Negeri Perlis bagi membangunkan Mesin Pengkelasan dan Pengredan Automasi Buah Mangga Harumanis.
“Dengan pertambahan hasil mangga harumanis dan usahawan tani setiap tahun, FAMA Negeri Perlis memerlukan prasarana tambahan bagi tujuan menjalankan aktiviti pengkelasan dan pengredan buah berkenaan menyebabkan UniMAP komited membangunkan mesin itu,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini.
Turut hadir ke Majlis Menandatangani MoA itu ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UniMAP, Prof. Ir. Dr Rizalafande Che Ismail dan penyelidik-penyelidik UniMAP.
Mengulas lanjut mengenai perjanjian berkenaan, beliau berkata kolaborasi dengan syarikat berasal dari negeri Perlis itu kemudiannya dimeterai apabila Naswira Enterprise telah berminat untuk membeli pelesenan dari UniMAP bagi mesin berkenaan.
“Menerusi perjanjian ini, mesin berkenaan menjadi hakcipta terpelihara UniMAP dan digunakan oleh Naswira Enterprise bagi meningkatkan keupayaan Pusat Operasi FAMA Negeri Perlis dan pekebun Mangga Harumanis bagi menampung keperluan dan meningkatkan keupayaan seiring dengan pertambahan hasil pertanian.
Mesin ini perlu digunakan supaya pengkelasan dan pengredan buah Mangga harumanis ini dapat dipiawaikan mengikut keseragaman standard sekaligus dapat memartabatkan industry Mangga Harumanis negara sebagai produk signature,” kata beliau.
Mesin Pengkelasan Dan Pengredan Automasi Bagi Buah Mangga Harumanis itu dilengkapi dengan sistem akustik dan sistem penglihatan termaju bersama sebuah konveyor.