- Category: BERITA - Malay
- Written by Fazemil
ALUMNI PALAPES UniMAP BANTU PEGAWAI KADET TINGKATKAN KECEMERLANGAN
Oleh: Aininulniza Mohd Yusof
PAUH PUTRA, 24 Oktober 2021 – Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) ditubuhkan bagi menyokong usaha kerajaan dan Universiti Awam (UA) dalam membentuk kualiti seorang warganegara yang berdisiplin serta mempunyai ciri-ciri mempertahankan kepentingan negara.
Namun, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turut menerapkan elemen memasyarakatkan universiti dalam kalangan PALAPES universiti itu dengan menganjurkan Majlis Libat Urus Komandan bersama Alumni PALAPES dan Pegawai Kadet yang julung kali diadakan.
Naib Canselor UniMAP yang juga Komandan PALAPES UniMAP , Lt. Kol. Prof. Ts. Dr Zaliman Sauli berkata majlis berkenaan diadakan bagi mengumpul semua alumni PALAPES UniMAP untuk terus kekal berbakti kepada universiti.
Ujarnya, alumni disaran mengadakan pelbagai aktiviti serta perancangan dalam bentuk idea mahupun sumber kewangan bagi menyumbang kepada kecemerlangan PALAPES UniMAP dalam semua peringkat.
“Saya mengharapkan usaha murni ini akan diteruskan untuk tahun-tahun mendatang dengan berkolaborasi dengan Pusat Perhubungan Alumni (PPA) UniMAP untuk memastikan impak lebih besar dan menyeluruh di samping untuk terus menjaga diri masing-masing dengan mematuhi segala SOP yang dikeluarkan oleh MKN dan KKM,” kongsi beliau di laman sosial beliau, semalam selepas menghadiri majlis berkenaan di Markas PALAPES UniMAP Kubang Gajah.
Turut hadir sama ke sesi tersebut adalah Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir, Pemangku Timbalan Komandan, Mejar Kamaruzaman A Kadir, Ketua Jurulatih, Dr. Mohd Zakimi Zakaria, Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Pegawai Latih dan Pegawai Sukarela.
Sempena majlis berkenaan, turut diadakan penyerahan sebanyak 13 buah komputer riba berjumlah RM26,500 daripada alumni PALAPES kepada pegawai kadet bekeperluan dalam kategori B40.
Tambah beliau, sumbangan seperti itu amatlah dialu-alukan bagi membantu pegawai kadet PALAPES yang masih mengikuti pengajian di UniMAP sekaligus ia memberi suntikan semangat kepada mereka meningkatkan kecemerlangan.
“Kecemerlangan dalam pengajian turut menjadi kebanggaan kepada warga PALAPES, justeru saya berharap sokongan dan dokongan ini mampu meringankan beban pegawai kadet seterusnya dapat belajar bersungguh-sungguh mencapai kejayaan,” kata beliau.