- Category: BERITA - Malay
- Written by Fazemil
PENDEDAHAN AWAL MENUNGGANG KUDA FSGM BUANG STIGMA HANYA UNTUK GOLONGAN ELIT
Oleh: Aininulniza Mohd Yusof
PAUH PUTRA, 24 Oktober 2021 – Sukan berkuda lazimnya diketahui sebagai sukan bagi golongan elit memandangkan kos yang tinggi diperlukan bagi memiliki dan menjaga haiwan berkenaan.
Atas dasar itu, Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan (FSGM) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas (POTENSI) dan Kok Mak Stable Perlis menganjurkan “Early Intervention of Horsemanship” bagi memberi peluang kepada pelajar dan staf mendalami sukan berkenaan tanpa memerlukan kos yang tinggi.
Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) FSGM, Dr Rozilawati Mahadi berkata peserta didedahkan dengan pengenalan asas mengenai peralatan sebelum menunggang, demonstrasi dan pemasangan alatan menunggang kuda, ‘grooming’ serta latihan menunggang kuda dengan cara yang betul.
Ujarnya, jurulatih sukan berkenaan Lt. Kol. Bersekutu (PA) Wan Mhd Hafizam Wan Ismail memberi taklimat kepada peserta dengan cukup komprehensif dan berkesan sekaligus menarik minat peserta.
“Program sehari memberi impak positif kepada semua para peserta. Rata-rata mengakui wujudnya kesedaran dan minat mereka dengan aktiviti sukan berkuda ini. Walaupun baru pertama kali menunggang kuda, mereka teruja untuk meneruskan lagi aktiviti berkuda ini pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Tambahnya, program berkenaan turut mendapat sokongan daripada Dekan FSGM Prof Madya Ts. Dr. Mohammad Harith Amlus, wakil Persatuan Alumni UniMAP Dr Emy Aizat Azimi dan kepimpinan FSGM.
Sementara itu, pengarah program yang juga pensyarah FSGM Puan Najuwa Mohd Nasir berkata sukan berkuda adalah sukan bertaraf dunia yang wajar diangkat dalam kalangan warga UniMAP.
Katanya, stigma bahawa sukan berkuda itu hanya berfokus kepada golongan elit perlu dibuang daripada minda masyarakat.
“Kesedaran harus dipupuk bahawa sukan ini mampu memberi impak kesihatan yang meluas kepada masyarakat secara amnya. Jika sukan ini dipandang serius dan mendapat sokongan pelbagai pihak, UniMAP mampu melahirkan atlet sukan berkuda yang bertaraf antarabangsa pada masa hadapan sekaligus mengharumkan nama universiti dan negara,” katanya.