- Category: BERITA - Malay
- Written by Fazemil
MoU UniMAP DAN PeSTeC BAWA MATLAMAT PEMERKASAAN OKU
Oleh: Aininulniza Mohd Yusof
PAUH PUTRA, 25 Oktober 2021 – Pendekatan transdisiplin memberi ruang yang luas kepada kepelbagaian bidang ilmu yang diintergrasikan untuk sama-sama saling bertindak bagi menyelesaikan isu dalam masyarakat.
Sehubungan itu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjalinkan kerjasama dengan PeSTeC Network menerusi Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan UniMAP diwakili Naib Canselornya, Prof Ts. Dr Zaliman Sauli manakala PeSTeC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Puan Naznin Abdullah yang diadakan di Pejabat Naib Canselor, Bangunan Canselori, di sini.
Prof Ts. Dr. Zaliman berkata jalinan kolaborasi bersama rakan strategik amatlah penting dan perlu diperluaskan bersama-sama agar agenda memasyakatkan universiti dapat direalisasikan.
Ujarnya, jalinan yang dimerterai antara UniMAP dan PeSTeC itu bakal memudahkan kerjasama di antara kedua-dua pihak terutamanya dalam aktiviti pemerkasaan Orang Kelainan Upaya (OKU).
“UniMAP dan PeSTeC akan bersama-sama mengembangkan penyelidikan berkaitan teknologi dan kejuruteraan untuk kegunaan golongan OKU di samping memantapkan promosi program-program pendidikan dan penyelidikan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa,“ katanya.
Turut hadir menyaksikan MoU berkenaan ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP, Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan , Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) Prof Madya Ir. Dr Mohd Shukry Abd Majid, dan Cik Norshahanis.
Sementara itu, Puan Naznin berkata menerusi MoU itu pihak PeSTeC telah menetapkan sasaran dengan hasrat akan menjalankan empat aktiviti bersama untuk memperkasakan OKU setiap tahun dalam tempoh MoU itu iaitu lima tahun.
“Selain itu, kami juga akan berusaha mendapatkan geran atau dana bersama, dua aktiviti penyelidikan dan lima pelajar untuk program peningkatan kemahiran pelajar di PeSTeC setiap tahun.
“Semoga dengan kerjasama ini, PeSTeC dan UniMAP dapat bersama-sama membantu golongan OKU bukan sahaja di negeri Perlis malah di wilayah Utara,” katanya.