- Category: BERITA - Malay
- Written by Fazemil
UniMAP PRIHATIN: LANCAR TABUNG KILAT UNTUK NUR ‘ALIAH
Oleh: Aininulniza Mohd Yusof
ALOR STAR, 15 November – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melancarkan Tabung Kilat khusus untuk membantu keluarga pelajarnya yang menjadi mangsa kebakaran rumah di Kg Utan Betut, Mergong, di sini.
Naib Canselor UniMAP Prof Ts.Dr. Zaliman Sauli berkata buat permulaan UniMAP menghulurkan bantuan Bakul Kasih UniMAP dan wang tunai bagi meringankan beban pelajar Diploma Kejuruteraan Mekatronik Nur ‘Aliah Izzati Abdul Ghani.
Ujarnya, apabila melihat sendiri rumah keluarga pelajar berkenaan yang musnah 100 peratus termasuk tujuh kenderaan iaitu lima kereta dan dua buah motosikal , UniMAP akan segera melancarkan Tabung Kilat bagi membantu keluarga Nur ‘Aliah.
“Malahan, UniMAP turut mengalu-alukan Nur ‘Aliah menginap di kolej kediaman lebih awal sekiranya pelajar itu mahu menumpukan perhatian terhadap pengajiannya memandangkan pada masa sekarang pelajar Diploma mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian,” kata beliau ketika melawat dan menyampaikan Bakul Kasih UniMAP kepada keluarga Nur ‘Aliah, di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Abdul Khalim Al Azizi Syahril.
Sementara itu, Nur ‘Aliah ketika mengimbau kejadian kira-kira jam 5 pagi 12 November lalu itu berkata mereka sekeluarga tidak berada di rumah kerana ibu dan bapanya ke Kuala Lumpur bagi menemani kakak sulungnya hadir ke temuduga.
Ujar anak ketiga daripada empat beradik itu, dia dan abangnya pula menginap di rumah bapa saudara kerana mahu menghabiskan masa bersama-sama sepupu yang pulang ke kampung menyebabkan mereka sekeluarga terselamat dari bencana itu.
“Nenek dan ibu saudara yang berada di rumah sempat menyelamatkan diri kerana dikejutkan jiran namun, jiran yang juga saudara kami itu yang meninggal dunia dipercayai kerana serangan jantung,” katanya ketika ditemui, di sini.
Tambah Nur ‘Aliah, mereka sekeluarga berbesar hati dengan kehadiran Naib Canselor, pengurusan UniMAP dan MPP melawat mereka sekeluarga dan akan memikirkan semula samada mahu pulang ke kampus dalam masa terdekat.
“Saya akan memikirkan semula memandangkan peperiksaan akhir tidak lama lagi walaupun sebenarnya berat hati berjauhan dengan keluarga dalam keadaan sekarang. Terima kasih UniMAP di atas keprihatinan kepada saya sekeluarga,” katanya yang juga baharu mendaftar sebagai pelajar Diploma UniMAP pada Julai baru-baru ini.
Sebelum ini laporan akhbar pada 12 November lalu melaporkan seorang mangsa Mohamad Nazri Mohamad Saad, 48, meninggal dunia dipercayai terjatuh ke dalam sungai selepas bertungkus lumus membantu jirannya iaitu keluarga Nur ‘Aliah apabila menyedari rumah itu terbakar.