- Category: BERITA - Malay
- Written by Fazemil
UniMAP PILIHAN PELAJAR ANTARABANGSA
Oleh: Nurul Aida Othman
PAUH PUTRA, 16 November - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus menjadi pilihan pelajar antarabangsa apabila menerima seramai 33 pelajar yang mendaftar bagi sidang akademik 2020/2021 dan 2021/2022.
Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, pelajar ini kebanyakannya berasal dari negara timur tengah seperti Yemen, Mesia, Syria, Jordan, Afghanistan, Palestin, Pakistan dan Bangladesh.
“Saya mengalukan kehadiran pelajar antarabangsa ke UniMAP dan gembira kerana mereka memilih untuk belajar di sini.
“Sasaran UniMAP adalah untuk mendidik pelajar secara keseluruhan dan kami telah mengenal pasti beberapa perkara penting yang akan diterapkan dalam sistem pembelajaran luar kelas, makmal dan perpustakaan,” katanya pada ucapan aluan Majlis Sambutan Pelajar Antarabangsa UniMAP 2021.
Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan yang juga menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa); dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ir. Dr. Rizalafande Che Ismail.
Tambah Prof. Dr. Zaliman, UniMAP akan sentiasa memastikan keselamatan dan persekitaran yang menarik kepada pelajar dan menyarankan kepada pelajar untuk mengamalkan kehidupan seimbang dari segi kurikulum, aktiviti kokurikulum dan peluang mendalami budaya UniMAP dan negeri Perlis.
“Bagi memudahkan proses pengajian pelajar antarabangsa, UniMAP telah menubuhkan One Stop Centre for International Students (OSCi) yang berfungsi untuk memberi sokongan dan bantuan berfokus kepada proses pembaharuan pas pelajar dan visa serta aktiviti dan akademik pelajar.
“Melalui OSCi kita akan membantu pelajar antarabangsa mengenal pasti isu yang dihadapi dan menyelesaikan permasalahan yang menyekat potensi mereka,” katanya.