- Category: BERITA - Malay
- Written by Fazemil
SiLK 2021 PLATFORM KONGSI ILMU MANTAPKAN PENDIDIKAN PELBAGAI BUDAYA
Oleh: Aininulniza Mohd Yusof
PAUH PUTRA, 11 November – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama Rajamangala University of Technology Srivijaya (RUTS), Walailak University (WU) dan Mahidol University (MU) menganjurkan Symposium Of International Languages And Knowledge (SILK) 2021.
Penganjuran simposim kali ke-8 yang dikelolakan Pusat Sains Liberal (CLS) Fakulti Gunaan dan Sains Kemanusiaan (FSGM) UniMAP bersama tiga institusi pengajian tinggi terkenal antarabangsa itu membawa tema "Unity Through Diversity" – “Gone Digital: Expanding Horizons for Language and Knowledge”.
Naib Canselor UniMAP Prof Ts.Dr. Zaliman Sauli berkata dengan tren dan cabaran penyelidikan yang semakin meningkat pada masa kini, SiLK 2021 dapat menjadi platform dan peluang perkongsian ilmu serta pengalaman masing-masing.
Ujarnya, menerusi SiLK 2021 mereka dapat menggalakkan pemikiran pelbagai disiplin, kritis dan kreatif, serta menyokong pelajar dalam pelbagai cara sebagai pendidik bahasa.
“Interaksi dan rangkaian dalam kalangan rakan strategik adalah penting dalam mengejar pengetahuan dan kemajuan teknologi dalam pendidikan bagi melihat secara mendalam tentang banyak isu yang dibangkitkan dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) Bahasa, Komunikasi dan Inovasi dalam konteks pelbagai budaya,” kata beliau ketika berucap merasmikan SiLK 2021 secara dalam talian, di sini.
Turut hadir secara dalam talian ialah Timbalan-timbalan Naib Canselor UniMAP, Presiden RUTS Prof. Dr. Suwat Tanyaros, Presiden WU Prof. Dr. Sombat Thamrongthanyawong, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Khidmat Sosial MU Dr. Vannaporn Phongpheng, Dekan FSGM Prof. Ts. Dr. Mohammad Harith Amlus dan Ketua Jabatan CLS Dr Sharmini Abdullah.
SiLK buat julung kalinya pernah diadakan di Pulau Pinang pada 2014 dengan UniMAP menjadi hos dan ia dianjurkan secara bergilir antara empat institusi berkenaan setiap tahun sehingga kini.