- Category: BERITA - Malay
- Written by Aininulniza
PELANCARAN "WIRELESS NETWORK ANTENNA INSTALLATION" KERJASAMA UniMAP, NCER DAN G2R
OLEH : Prof Madya Ir. Ts. Dr. Muzammil Jusoh & Aininulniza Mohd Yusof
SUNGAI PETANI, 30 November 2021 - Hasil kerjasama di antara Universiti Malaysia Perlis, Grass2Route Sdn Bhd dan NCER Empower – Northern Corridor Economy Region satu majlis pelancaran telah diadakan iaitu Empower NCER - Soft Launching "Wireless Network Antenna Installation" yang berlangsung pada 30 November 2021 bertempat di Creative Arena, G2R HQ Sungai Petani, Kedah.
Majlis dihadiri oleh Prof. Ts. Dr. Rizalafande Che Ismail, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UniMAP, En. Muhammad Hezri bin Mahmud, Ketua Pegawai Esekutif Grass2Route Sdn Bhd (G2R Sdn Bhd), En. Mohd Khairil bin Othman, Ketua Pegawai Sumber Manusia, Pn. NorNadzaty Azma binti Mohamad Tajudin (Penolong Pengurus Projek Empower NCER Kedah & Perlis) dan En. Thinish Nair Pengurus Kanan, Pertubuhan Kemajuan Sosial Malaysia (PKSM)
Dr. Rizalafande Che Ismail dalam ucapan beliau di majlis tersebut memberitahu UniMAP menyambut baik program seumpama ini khususnya jalinan kerjasama bersama masyarakat baik dari industri mahupun agensi-agensi swasta atau kerajaan selari dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi yang mahu universiti memberi fokus terhadap University for Society (U4S) malah UniMAPforSociety juga telah dilancarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi ketika lawatan kerja beliau ke UniMAP pada November lalu.
Tambah beliau, UniMAP juga sedang membangunkan MyRIVET UniMAP iaitu Malaysian Research Institute for Vocational and Training dimana MyRIVET ini akan memainkan peranan sebagai pelengkap dalam proses kerjasama bersama industri dan masyarakat untuk meningkatkan dan memperkasakan aktiviti TVET sesuai dengan aspirasi UniMAP dan negara.
“Program bersama Empower NCER dengan kerjasama Persatuan Khidmat Sosial Malaysia (PSKM) ini merupakan projek perintis dan menjadi satu penanda aras bagi kejayaan projek-projek bersama MyRIVET dimasa hadapan,” kata beliau.
Dengan tajaan dari Yayasan Petronas dan diuruskan oleh Empower NCER melalui PKSM dan UniMAP terlibat secara langsung sebagai tenaga pengajar kepada 10 orang peserta yang akan diserapkan sebagai pekerja di G2R Sdn Bhd. Program latihan ini akan dikendalikan oleh PM Ir Ts Dr Muzammil Bin Jusoh, En Mat Nor Mohamad Ismail dan pasukan.
Tambahnya, beliau berharap ekosistem yang baik seperti ini harus dikekalkan supaya akhirnya dapat memberi manfaat terus kepada masyarakat. UniMAP bersedia menjadi pendokong dan sentiasa akan memberi kerjasama baik dalam proses melaksanakan latihan dan pembangunan modal insan ini.