- Category: BERITA - Malay
- Written by Aininulniza
INDUSTRI SEMIKONDUKTOR TERAS TEKNOLOGI PEMBUATAN
Oleh: Nurul Aida Othman
PAUH PUTRA, 4 Disember - Industri semikonduktor merupakan teras kepada teknologi dalam sektor pembuatan. Atas dasar itu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terpanggil untuk menganjurkan Seminar Semiconductor Industry and Digital Transformation yang berlangsung di sini, semalam.
Naib Canselor UniMAP, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata peranti semikonduktor elektronik merupakan antara komponen yang penting dalam litar elektronik.
“Pertumbuhan baharu sektor Elektrik & Elektronik terutama dalam bidang telekomunikasi, perubatan dan teknologi perindustrian banyak berkait dengan industri semikonduktor.
“Selain itu,semikonduktor turut mempunyai permintaan dan aplikasi merentas sektor industri lain,” katanya pada majlis perasmian seminar tersebut.
Turut hadir Pengarah Urusan MSTS Asia, Ts. Azhar Md Nayan yang juga penceramah seminar; Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik UniMAP, Prof. Madya Ts. Dr. Azremi Abdullah Al-Hadi.
Tambah Prof. Dr. Zaliman lagi, industri semikonduktor sudah lama bertapak dan semakin berkembang di Malaysia.
“Baru-baru ini, syarikat On Semiconductor yang telah berada di Malaysia sejak 1979 menyatakan, Malaysia memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan semikonduktor.
“Saya berharap melalui seminar ini, para pelajar akan dapat memahami dengan jelas mengenai industri semikonduktor dalam era transformasi digital agar ia memberi manfaat kepada pelajar bukan sahaja di kampus tetapi sehingga memasuki alam pekerjaan nanti,” katanya.
Ujar beliau pemilihan syarikat MSTS Asia yang ditubuhkan pada tahun 2000 itu kerana mempunyai pengalaman yang luas dalam menyediakan latihan keselamatan dan perkhidmatan perundingan kepada industri dan sektor awam.
“Malah MSTS telah muncul sebagai salah satu penyedia utama keselamatan, kecekapan, dan digitalisasi dalam era Revolusi Industri 4.0,” katanya.