- Category: BERITA - Malay
- Written by Fazemil
MERCU TANDA TAMAN TASIK ALUMNI UniMAP DIRASMIKAN
Oleh: Nurul Aida Othman
PAUH PUTRA, 26 Januari - Dalam usaha untuk menarik tumpuan orang ramai ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), universiti itu telah merasmikan Mercu Tanda Taman Tasik Alumni sebagai satu ruang rekreasi warga UniMAP.
Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata projek pembangunan Tasik Alumni dimulakan sebagai tempat rekreasi warga UniMAP yang menginap atau bertugas dalam kampus.
“Ia dapat membangkitkan semangat UniMAPian di samping menggalakkan alumni kembali semula ke alma meter.
“Saya yakin menerusi inisiatif ini akan mencetuskan revolusi ke arah alumni UniMAP yang mapan dan berjiwa penyumbang,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian tersebut.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan; Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UniMAP, Dr. Mohd Zakimi Zakaria; Pengarah Jabatan Pembangunan, Prof. Dr. Khairul Azwan Ismail; dan Pengerusi Persatuan Alumni UniMAP, Dr. Emy Aizat Azimi.
Tambah Prof. Dr. Zaliman, pembangunan mercu tanda ini membuktikan bahawa pengurusan UniMAP memberi perhatian terhadap alumni dan terbuka menerima sebarang cadangan atau pandangan boleh membantu alumni untuk memajukan universiti.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru keterlibatan alumni dalam menyokong dan memberi sokongan serta sumbangan secara sukarela bagi membantu pembangunan sesebuah universiti khususnya pembangunan mahasiswa.
“Alumni adalah contoh teladan yang berkesan dan mudah diterima oleh mahasiswa kerana alumni membawa kredibiliti dan justifikasi sebagai mereka yang berjaya mengharungi cabaran di universiti sebelum bergraduasi.
“Pengalaman yang dikongsi alumni bersama pelajar sama ada dalam soal pengurusan masa dan kewangan. Pembentukan sahsiah diri dan watak mahupun bidang kerjaya dapat diterima dengan lebih baik sebagai panduan oleh pelajar,” katanya.
Ujarnya, dengan pendekatan tersebut dapat memperkukuhkan keyakinan, semangat dan menyemai budaya seperti mana yang dihasratkan oleh universiti kepada pelajar malah melalui pencapaian yang dilakar alumni dapat menarik minat masyarakat untuk memilih UniMAP.