- Category: BERITA - Malay
- Written by Fazemil
MAIPs SANTUNI 70 WARGA UniMAP
Oleh: Nurul Aida Othman
PAUH PUTRA, 28 Januari - Seramai 70 warga asnaf Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, di sini semalam.
Mereka terdiri daripada 67 pelajar dan tiga pekerja disantuni pada dua lokasi berbeza dalam kampus semasa Program Kayuhan MAIPs Peduli bil 7/2022.
Naib Canselor UniMAP, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli menzahirkan ucapan terima kasih kepada MAIPs atas kesudian memilih UniMAP sebagai lokasi keenam dan sekaligus menyantuni warganya.
“Semoga usaha murni bagi menyantuni pelajar asnaf dan pekerja di UniMAP ini mendapat keberkatan daripada Allah Azza Wajalla.
“Saya mengharapkan aktiviti Kayuhan MAIPs Peduli ini akan terus dilaksanakan agar dapat membantu masyarakat yang kurang berkemampuan di samping dapat menyihatkan mental dan fizikal mereka yang turut serta dalam aktiviti kayuhan ini,” katanya ketika berucap selepas tamat program kayuhan tersebut.
Berangkat hadir adalah Raja Muda Perlis juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Turut hadir adalah Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP, Datuk Raja Azwane Raja Arif; Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor; dan wakil pelbagai agensi yang menganggotai Team Tayar Golek (TTG).
Dalam pada itu, Prof. Dr. Zaliman menyifatkan program kayuhan ini memberikan banyak manfaat kepada agensi terlibat khususnya UniMAP yang sudah bertapak di bumi Perlis sejak 2002 lagi.
“Kita boleh berkumpul dan beramah mesra dengan Team Tayar Golek (TTG) yang dianggotai oleh wakil pelbagai agensi di negeri Perlis.
“Malah melalui pertemuan ini, kita boleh berkongsi dan berbincang perkara berkaitan demi kemajuan agensi masing-masing,” katanya.
Ujar beliau, kewujudan UniMAP tanpa kerjasama dan sokongan padu daripada agensi-agensi di negeri Perlis ini tidak mungkin akan bertahan lama.