- Category: BERITA - Malay
- Written by Aininulniza
BANGUNAN CANSELORI TUANKU SYED SIRAJUDDIN MERCU IKONIK UniMAP
Sumber : Harian Metro
ARAU,24 Februari - Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) kini menjadi mercu tanda ikonik universiti berkenaan selepas secara rasmi dimasyhurkan semalam.
Bangunan itu menempatkan Pejabat Naib Canselor dan Pejabat Timbalan Naib Canselor serta jabatan lain seperti Jabatan Pendaftar dan Jabatan Bendahari.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah, diharap, bangunan itu dapat menjadi lambang kehebatan UniMAP dalam menghasilkan warga kerja yang komited dan berdedikasi serta mahasiswa yang cemerlang yang bakal mewarisi pentadbiran negara.
"Beta suka menitahkan semua warga UniMAP untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pemegang taruh termasuk pelajar, pihak industri dan komuniti.
"Hal ini kerana, kekuatan sesebuah organisasi itu bukan terletak kepada kekuatan individu sebaliknya ia adalah hasil gabungan kerjasama semua pihak pelbagai peringkat usia, pangkat dan latar pendidikan.
"Beta yakin, bila semua jabatan pentadbiran utama diletakkan dalam satu bangunan, gerak kerja seharusnya menjadi lebih efisien dan lancar serta menjimatkan kos dan masa.
"Maka, tidak perlu lagi timbul isu kelambatan dan kelambakan dokumen atau kerja tertangguh kerana faktor berkenaan," titah baginda sempena Majlis Pemasyhuran Canselori Tuanku Syed Sirajuddin UniMAP Pauh Putra di sini, semalam.
Mencemar duli Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis merangkap Canselor UniMAP Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pro Canselor UniMAP.
Turut hadir Setiausaha Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar, Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Shahruddin Abu Sohot yang mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi dan Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.
Titah baginda, meskipun kedudukan bangunan Canselori itu berada jauh di atas bukit, ia tidak sepatutnya dibiarkan terasing daripada diakses oleh orang ramai termasuk kakitangan, penuntut dan masyarakat tanpa melanggar undang-undang bangunan.
"Dalam hal ini, ia harus berkonsepkan mesra pelanggan agar pengunjung berada lebih dekat dengan pengurusan tertinggi UniMAP.
"Selain itu juga, UniMAP harus melaksanakan aktiviti berkala bersama komuniti agar dapat memberi peluang kepada mereka untuk berada dekat dengan UniMAP, tidak hanya di bangunan Canselori tetapi semua tempat di UniMAP yang boleh dijadikan lokasi penganjuran program yang membabitkan komuniti," titah baginda.
Sementara itu, Naib Canselor UniMAP Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata, pembinaan bangunan Canselori itu bermula pada 2014 di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).
"Bangunan ikonik ini berketinggian 77 meter daripada aras laut, tidak termasuk 10 meter ketinggian kubahnya dengan warna setiap aras berdasarkan lima prinsip tadbir urus iaitu kuning (dinamik), jingga (cekap), kelabu (telus), hijau (beretika) dan biru (fokus pelanggan).
"Dengan keluasan 11,257 meter persegi, bangunan ini mampu menempatkan 383 kakitangan selain antaranya dilengkapi lif, kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem automasi bangunan," katanya.