A+ A A-

133 STAF UniMAP RAIH ANUGERAH KECEMERLANGAN 2021

Oleh: Nurul Aida Othman

PAUH PUTRA, 24 Mac - Seramai 133 staf Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pelbagai gred menerima pengiktirafan pada Anugerah Seri Gemilang (ASG) UniMAP 2021, semalam.

Mereka terdiri daripada 76 staf akademik, 14 pentadbir dan 43 staf pelaksana dianugerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).

Manakala 34 penerima lain 6pula dianugerahkan Anugerah Khas Perkhidmatan Cemerlang (AKPC) atas prestasi cemerlang yang ditunjukkan sepanjang tahun 2021.

Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata ASG UniMAP 2021 dianjurkan khusus bagi memberikan pengiktirafan kepada warga UniMAP yang telah menunjukkan prestasi kerja cemerlang sepanjang tahun 2021 yang lalu.



“Penganugerahan yang diberikan ini sebagai manifestasi pengiktirafan dan penghargaan universiti atas kecemerlangan perkhidmatan dan sumbangan warga kerja UniMAP tanpa mengira pangkat dan gred.

“Ia diharap akan menyuntik semangat dan motivasi kerja dalam memastikan visi serta misi universiti tercapai,” katanya ketika berucap pada majlis yang diadakan di kampus Induk universiti tersebut.

Ujarnya lagi, ASG kali ini juga ada satu kelainan iaitu dengan menggabungkan Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan (AKP) dalam ASG.

“Untuk AKP 2021, seramai 93 penyelidik UniMAP telah dipilih sebagai penerima anugerah bagi beberapa kategori iaitu Anugerah Penerbitan Buku Penyelidikan; Anugerah Penerbitan Ilmiah (Media Massa); Anugerah Pengkomersialan Harta Intelek; Anugerah Inovasi (Patent Granted); Anugerah Penerbitan Jurnal; dan Anugerah UniMAP Research Assessment (UniRA).

“Saya berharap kejayaan yang dicapai oleh para penyelidik akan menjadi perintis dan semangat untuk terus mencorak kejayaan dalam bidang penyelidikan ini di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Berangkat hadir Raja Muda Perlis merangkap Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut berangkat Raja Puan Muda merangkap Pro Canselor UniMAP, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Raja Dato’ Azwane Raja Ariff dan pengurusan tertinggi UniMAP.

Sementara itu Prof. Dr. Zaliman berkongsi iltizam beliau sebagai Naib Canselor untuk meningkatkan kegemilangan universiti dengan memfokuskan Pemantapan Tadbir Urus; Kecemerlangan Staf; dan Penyelidikan & Inovasi.

“Saya berharap budaya ‘siapalah saya’ dan “bukan skop kerja saya” perlu dikikis kerana setiap daripada anda mempunyai peranan masing-masing dan sama penting dalam menyumbang kepada kecemerlangan UniMAP dari segi idea, tindakan dan sebagainya.

“Saya juga yakin bahawa dengan mengamalkan prinsip etika kerja berintegriti dan beramanah akan memberikan satu senario persekitaran kerja yang sihat. Semangat kerja berpasukan dan melaksanakan sesuatu tugasan dengan penuh sense of urgency dan sehingga sesempurna yang mungkin akan memantapkan lagi pengurusan UniMAP,” katanya.

Tambah beliau lagi, semua staf UniMAP perlu mempunyai akhlak dan ilmu yang tinggi serta bersifat holistik, seimbang dan mempunyai ciri-ciri keusahawanan yang boleh dilihat melalui cara bekerja dan berinteraksi antara satu dengan lain, dan dengan pihak berkepentingan, terutama sekali dengan para pelajar.

“Bagi staf akademik yang masih belum mempunyai Doktor Falsafah, anda harus memulakan langkah PhD kerana selepas ini bagi lantikan baharu UniMAP mementingkan staf yang mempunyai pengalaman luas dalam industri dan juga berpakej PhD.

Beliau turut menitipkan pesanan kepada pensyarah UniMAP agar memberikan lebih penumpuan terhadap agenda penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan kerana perkara ini juga menjadi fokus dalam pengajian tinggi.

“Untuk tahun 2022, kita mensasarkan pemerolehan geran penyelidikan keseluruhan sebanyak RM12 juta berbanding pada tahun 2021 (sehingga kini) UniMAP telah berjaya memperolehi geran keseluruhan berjumlah RM8.9 juta dengan sekitar 61 peratus geran tersebut ialah geran kerajaan manakala geran industri ialah 18 peratus dan geran antarabangsa ialah 4.5 peratus.

“Selain menjalankan penyelidikan, para penyelidik juga harus aktif dalam penerbitan yang berkualiti bagi memastikan ianya dirujuk dan menyumbang kepada peningkatan sitasi,” katanya.