- Category: BERITA - Malay
- Written by Aininulniza
SISTEM MASJID PINTAR UniMAP MANFAATKAN PROGRAM RUMAH IBADAT HIJAU
Oleh : Aininulniza Mohd Yusof
KANGAR, 13 Mei – Seiring dengan kemajuan teknologi pada hari ini terutamanya dalam menggunapakai keupayaan teknologi hijau, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memanfaatkan kepakaran yang dimiliki penyelidiknya menerusi pembangunan Sistem Masjid Pintar (SMP).
Sistem yang dibangunkan sekumpulan penyelidik Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik (FTKEN) diketuai Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad itu berfungsi untuk mengawal peralatan elektrik utama seperti lampu, kipas dan penghawa dingin menggunakan capaian tablet menerusi Internet of Things (IOT).
R Badlishah berkata melalui aplikasi itu, pihak masjid dapat memantau penggunaan peralatan elektrik dengan lebih mudah, efisien sekaligus dapat menyumbang kepada penjimatan penggunaan tenaga elektrik kepada penjimatan penggunaan tenaga selari dengan Agenda Pembangunan Mapan PBB dibawah turus Sustainable Development Goals (SDG) 7: Affordable and Clean Energy dan SDG 11: Sustainable Cities and Communities.
Ujarnya, sistem itu buat pertama kali digunakan di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang telah terpilih dalam program perintis Rumah Ibadat Hijau yang dijalankan Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), iaitu agensi dibawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).
“Melalui program ini, bangunan masjid akan dilengkapi dengan elemen teknologi hijau, yang akan menjadikannya bangunan cekap tenaga, cekap air, mesra alam sekitar dan juga rendah karbon. Justeru, UniMAP turut menyumbang beberapa inovasi teknologi termasuk Sistem Masjid Pintar ini,” katanya yang membangunkan SMP bersama Prof. Madya Ir. Dr. Sohiful Anuar Murad, Prof. Madya Ir. Dr. Rashidi Che Beson, Prof. Madya Ts. Dr. Zulkarnay Zakaria serta Dr. Suhaizar Daud.
Terdahulu, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah mencemar duli merasmikan Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena Karnival dan Kesedaran Kepentingan Kelestarian Alam Sekitar Peringkat Masjid di Negeri Perlis.
Turut berkenan berangkat hadir ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Turut hadir Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Green Technology & Climate Change Corporation (MGTS) Ts Shamsul Bahar Mohd Nor, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kebajikan dan Bantuan Bencana Perlis Ruzaini Rais dan Naib Canselor UniMAP Prof Ts Dr Zaliman Sauli.
Dalam majlis itu, FTKEN melalui pasukan Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) berkenaan telah diberi penghargaan untuk turut serta melalui pembangunan aplikasi SMP itu yang mendapat tajaan tablet daripada Syarikat IGT Supplies.
Antara inovasi lain yang dibangunkan UniMAP bagi program itu ialah Solar Powered Smart Waste Collection System, Rainwater Harvesting System, dan Sistem Al-Quran Digital.
Pusat Pengurusan Tenaga dan Kampus Lestari (COSCEM) UniMAP telah bertanggungjawab menyelaraskan sumbangan inovasi teknologi ini kepada pihak jawatankuasa pengurusan masjid tersebut yang diwakili Pengerusi masjid iaitu Prof Madya Muhamad Rozaimi Ramle pada majlis sama.