A+ A A-

35 MAHASISWA UniMAP TERIMA KOMPUTER RIBA

Oleh: Nurul Aida Othman

PAUH PUTRA, 26 Jun - Mahasiswa merupakan tunjung sesebuah universiti dan tanpa penghasilan mahasiswa yang berkualiti tidak mungkin dapat mencemerlangkan sesebuah universiti.

Atas rasa tanggungjawab yang tinggi untuk menghasilkan model insan berkualiti sebagai pelapis negara, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meneruskan inisiatif membantu mahasiswa asnafnya melalui pemberian komputer riba.

Ini adalah selaras Program Insentif Khas Kasih UniMAP yang telah dilancarkan pada Julai 2020 lalu khusus bagi membantu mahasiswa asnaf dan juga mereka yang terkesan ekoran pandemik COVID-19 yang melanda Malaysia pada awal 2020.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, seramai 35 pelajar dipilih untuk menerima bantuan komputer riba bagi memudahkan urusan pembelajaran mereka.

 

“Mereka ini adalah sebahagian pelajar yang terkesan ekoran pandemik COVID-19 dan pihak universiti terpanggil untuk membantu agar mereka boleh menumpukan perhatian dalam pelajaran.

“Pembelian ini menggunakan peruntukan tabung kebajikan dan tabung fisabilillah setelah mendapat kelulusan pihak universiti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Simbolik Penyerahan Bantuan Komputer Riba di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan.

Bagi pelajar dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik (FTKEN), Ain Izzati Binti Ilias menyifatkan pemberian ini akan memberikan banyak kemudahan kepadanya berikutan komputer lamanya yang tidak berfungsi dengan baik.

“Sejak dari semester pertama lagi saya menggunakan komputer riba bapa saudara dan keadaannya sudah agak uzur serta melambatkan kerja-kerja yang dilaksanakan.

“Sebagai anak sulung dari lima beradik saya ingin memberikan contoh terbaik kepada adik-adik saya dan pemberian ini akan saya manfaatkan dengan sebaiknya untuk lebih cemerlang dalam bidang pengajian saya,” katanya.

Kenyataan ini disokong rakan beliau, Lee Ee Ding pelajar program Kejuruteraan Kimia yang juga turut mengguna pakai komputer riba lama milik abangnya bagi menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah.

“Walaupun saya merupakan anak keempat dari lima adik beradik, saya tetap mahu membanggakan keluarga saya melalui pencapaian akademik yang cemerlang dan dengan adanya pemberian ini akan menyuntik lebih semangat untuk saya kekal cemerlang dalam pengajian saya,” katanya.

Tidak ketinggalan, pelajar juga dari FTKEN, Thev Anand A/L Sivasupramaniam yang kematian ayah sejak 14 tahun berkata, beliau terpaksa meminjam komputer riba daripada rakannya demi menyiapkan apa juga tugasan yang diberikan oleh pensyarah.

“Saya bersyukur kerana terpilih menerima sumbangan komputer riba dan berikrar akan menjaga ia serta memanfaatkan penggunaannya dengan sebaik mungkin,” katanya.