- Category: BERITA - Malay
- Written by Syed Abu Bakar Syed Ahmad
PALAPES Dan SUKSIS UniMAP Berbakti Di Pedalaman
Tanah Merah, 21 Januari 2015 – Anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan Sukarelawan Polis Siswa Siswa (SUKSIS) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meneruskan misi bantuan sukarelawan sempena Operasi Pasca Bencana Banjir universiti itu dengan menyumbangkan bakti di kawasan pedalaman negeri Kelantan.
Pendaftar UniMAP Encik Zuber Hj Mohamad yang juga ketua operasi berkata, seramai 150 anggota dan pegawai terlibat untuk misi bantuan ke Gua Musang dan Tanah Merah bermula 19 hingga 21 Jan 2015.
“Tumpuan kita pada hari pertama adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Geris, Dabong dimana kumpulan ini terpaksa menempuh perjalanan jauh yang mengambil empat jam dari Bachok. Saya amat memuji semangat yang ditunjukkan oleh kedua-dua badan beruniform ini.
Sementara itu pada hari kedua misi bantuan diteruskan ke SK Sokor, Tanah Merah dimana semua sukarelawan sekali lagi terpaksa menempuh perjalanan mencabar dengan menaiki lori dan kenderaan pacuan empat roda berikutan keadaan jalan yang rosak teruk akibat bencana banjir baru-baru ini.
Di SK Sokor kita mengalami kesukaran kerana sumber bekalan air yang terhad dan tiada bekalan elektrik. Segala kerja-kerja pembersihan dijalankan secara manual oleh para sukarelawan,”katanya.
Menurut beliau, para sukarelawan membersihkan sekitar kawasan sekolah selain membantu mengenalpasti peralatan yang rosak untuk dibuang serta menyusun semula dengan peralatan yang baru.
Saya amat berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh sukarelawan PALAPES dan SUKSIS ini. Saya melihat kita mencapai sasaran untuk memberikan bantuan kepada masyarakat yang terlibat banjir.
“Pihak sekolah juga amat menghargai bantuan ini kerana bilangan sukarelawan yang datang di dua-dua kawasan ini agak kurang.
Saya berharap segala bantuan yang dihulurkan ini dapat meringankan sedikit bebanan yang ditanggung seterusnya memberikan semangat baru untuk mereka menjalani sesi persekolahan. Semoga melalui misi ini, ia juga mampu mendidik para pelajar kita untuk memiliki semangat kesukarelawan dan sentiasa bersedia memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat,”katanya.
Majlis pelepasan dilakukan serentak dengan program Inovasi Sosial 1 Malaysia (InoS1M) dengan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Pada majlis pelepasan tersebut seramai 1,440 peserta dengan 400 pelajar digerakkan ke Kelantan, 203 pelajar ke negeri Pahang, 179 pelajar ke negeri Terengganu, 422 pelajar ke Perak, 80 pelajar antarabangsa, 150 pegawai kadet PALAPES dan Kor Sukarelawan Siswa Siswi Polis (SUKSIS), 31 wakil dari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan 25 sukarelawan Green Earth.