A+ A A-

Pelajar Teruja Pandu Go-Kart

PAUH PUTRA, 19 Mac— Pengalaman memandu go-kart di litar yang menjanjikan cabaran buat kali pertama merupakan sesuatu yang sukar dilupakan bagi 15 peserta “Klinik Gokart” Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), semalam.

Klinik yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 5 petang itu merupakan inisiatif Unit Penyelidikan Teknologi Sukan Permotoran (MoTECH) UniMAP, khusu untuk mengisi masa lapang pelajar-pelajar pada cuti penggal persekolahan.

Selain itu, klinik tersebut juga dianjurkan bertujuan untuk mendedahkan pelajar dengan teknik dan langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil oleh setiap pemandu go-kart.

Nur Syafiqah Syahirah Mohd Johari, 9,  menyifatkan peluang mengikuti klinik go-kart pada sesi cuti persekolahan kali ini amat mencabar dan memberikan pengalaman baru selain dapat mengisi masa dengan aktiviti yang bermanfaat.

“Pada mulanya, saya berasa sedikit takut untuk memandu  go-kart, namun selepas diberikan peluang untuk cuba memandu, tidak puas rasanya klinik ini diadakan selama sehari saja,” katanya ketika ditemui selepas berakhirnya klinik itu.

Beliau yang juga pelajar tahun tiga Sekolah Kebangsan Tengku Budriah, Arau berhasrat untuk menyertai klinik tersebut pada masa akan datang sekiranya diberikan peluang lagi.

Farhan Iskandar Jiwa Noris, 9, yang juga dari SK Tengku Budriah menganggap penglibatan sehari dalam aktiviti go-kart mendedahkan beliau kepada cabaran dan teknologi go-kart yang dibangunkan oleh UniMAP.

“Melalui klinik ini, saya diberikan penerangan jelas mengenai peraturan dan teknik dalam mengendalikan go-kart terutama aspek keselamatan pemanduan.

“Saya akan datang lagi untuk bermain go-kart di litar ini di masa akan datang dan berhasrat untuk mempelajari dengan lebih mendalam aspek peghasilan go-kart daripada penyelidik-penyelidik UniMAP,” katanya.

Sementara itu, bapa kepada Farhan Iskandar, Jiwa Noris Hamid, 36, berharap agar pihak MoTECH dapat menganjurkan klinik yang membolehkan ibu bapa bersama-sama turut serta sepanjang klinik itu diadakan.

“Ini adalah salah satu cara untuk membolehkan kanak-kanak mengisi masa lapang sepanjang cuti persekolahan untuk melakukan aktiviti yang bermanfaat serta ibu bapa dapat menggunakan masa yang berkualiti bersama anak-anak,” katanya.

Pengarah MoTECH, UniMAP, Dr. Shariman Abu Bakar berkata, pihaknya sentiasa berusaha untuk memupuk minat genarasi muda untuk bergiat aktif dalam sukan permotoran.

“Selain  dari klinik sukan permotoran seperti ini, Litar Go-Kart UniMAP ini juga dibuka kepada orang ramai untuk memandu go-kart dengan bayaran sebanyak RM 30 untuk 10 minit,” katanya.

Untuk keterangan lanjut  mengenai penyewaan go-kart tersebut boleh menghubungi kakitangan MoTECH, Rhafizuan Rusli  di talian 012-4608784/ 04-9885351 dan Norsyahida Sayal
012-4968244/ 04-9885350.

Go Kart

Go Kart

Go Kart

Go Kart

Go Kart