A+ A A-

Pelajar UniMAP Dipilih Berucap Pada Majlis Makan Malam Persidangan Parlimen Mahasiswa

Kuala Lumpur, 27 Januari – Pelajar tahun dua Pusat Pengajian Kejuruteraan Pmbuatan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Muhammad Khairul Rezwan Abdul Rahman, di beri penghormatan menyampaikan ucapan aluan mewakili perwakilan mahasiswa pada Majlis Makan Malam Persidangan Parlimen Mahasiswa Sesi 2015.

Lebih membanggakan ucapan tersebut di buat di hadapan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri  Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pendidikan Malaysia dan ratusan tetamu kehormat lainnya termasuk mantan Ahli-Ahli Parlimen terkenal di Malaysia.

Muhammad Khairul Rezwan dalam ucapannya menyambut baik usaha dan inisiatif kerajaan dalam penganjuran parlimen mahasiswa yang secara tidak langsung memberi pendedahan kepada golongan mahasiswa tentang etika dan peraturan yang harus dipatuhi sewaktu persidangan parlimen.

Menurut beliau, selain itu, persidangan tersebut juga menjadi wahana terbaik buat para mahasiswa melontarkan serta mempertahankan idea masing-masing berdasarkan isu-isu yang diutarakan.

“Ini secara tidak langsung dapat mengukuhkan kepimpinan diri di kalangan mahasiswa yang merupakan tonggak utama kepimpinan negara di masa hadapan dan pada masa sama meningkatkan tahap keyakinan diri mahasiswa,” ujar beliau.

Seramai 200 pelajar dari 19 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menyertai persidangan dua hari di bangunan Parlimen yang berakhir semalam.

Ia dianjurkan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Kementerian Pendidikan.

Pada majlis itu juga Muhyiddin turut menyampaikan anugerah kepada pendebat terbaik iaitu Nur Ezzah Abdullah dari UIAM.

Dalam pada itu, Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof Dr. Kamarudin Hussin berbangga dengan kredibiliti yang ditonjolkan oleh Muhammad Khairul Rezwan sehingga terpilih mewakili perwakilan untuk menyampaikan ucapan.

“Meskipun baru di tahun kedua pengajian, namun beliau memiliki aura tersendiri sehingga mampu memukau hadirin dengan ucapan dan kata-kata semangat yang dilaungkan,” ujar beliau.

Persidangan Parlimen Mahasiswa

Persidangan Parlimen Mahasiswa

Persidangan Parlimen Mahasiswa

Persidangan Parlimen Mahasiswa