- Category: BERITA - Malay
- Written by Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Persidangan Parlimen Mahasiswa Akan Diteruskan - TPM
KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Persidangan Parlimen Mahasiswa 2015 yang julung kali diadakan tahun ini, akan diteruskan setiap tahun pada masa akan datang.
Timbalan Perdana Menteri berkata persidangan seumpama itu perlu dijalankan dalam tempoh yang lebih panjang bagi memberi peluang kepada mahasiswa berbahas dan mengutarakan pelbagai usul demi kebaikan bersama.
"Saya setuju saranan supaya Persidangan Parlimen Mahasiswa diadakan setiap tahun. Tempoh sehari memang tidak cukup," katanya yang juga Menteri Pendidikan pada Majlis Makan Malam Perdana sempena Persidangan Parlimen Mahasiswa sesi pertama 2015 di sini, Selasa malam.
Muhyiddin berkata, beliau menyokong penuh program berkenaan kerana ia memberi pendedahan kepada mahasiswa bagaimana Parlimen berperanan menggubal undang-undang melalui proses perbahasan yang rasional demi kebaikan rakyat.
Menurutnya sebagai pemimpin pelapis pada masa hadapan, pengalaman mengambil bahagian dalam perbahasan itu akan memberikan mahasiswa perspektif baharu dalam memahami bagaimana negara ditadbir.
Beliau berkata program Parlimen Mahasiswa bukanlah suatu perkara baharu kerana ia turut dijalankan di Britain, Sweden, Australia dan negara-negara lain di Eropah sebagai platform mendidik dan melahirkan generasi pemimpin pelapis yang menghormati perundangan negara terutama perlembagaan.
Dalam pada itu, Muhyiddin menyifatkan persidangan kali pertama itu cukup berjaya kerana mampu menonjolkan mahasiswa berbakat, yang berpotensi menjadi anggota Parlimen pada masa akan datang.
"Malahan, banyak perkara berkaitan pendidikan yang dibahaskan hari ini. Ada beberapa cadangan yang pasti...amat baik. Ia akan diserahkan kepada saya dan akan diberi perhatian istimewa,” katanya.
Muhyiddin juga berkata pada masa akan datang, persidangan itu akan melibatkan kehadiran menteri atau timbalan menteri untuk terlibat dalam sesi penggulungan.
Seramai 200 pelajar dari 19 buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) menyertai persidangan dua hari di bangunan Parlimen yang berakhir Selasa.
Ia dianjurkan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Kementerian Pendidikan.
Pada majlis itu Muhyiddin turut menyampaikan anugerah kepada pendebat terbaik iaitu Nur Ezzah Abdullah dari UIAM.
Nur Ezzah yang ditemui pemberita selepas itu berkata persidangan itu merupakan peluang keemasan kepada mahasiswa memberikan pendapat menggunakan medium yang sewajarnya.
Beliau berkata mahasiswa perlu mengambil tahu segala perkara yang berlaku dalam dan luar negara, dan tidak hanya bergantung kepada buku teks untuk memperkaya ilmu pengetahuan.