A+ A A-

PPPM (PT) Menyeluruh dan Holistik – Naib Canselor UniMAP

Kuala Lumpur, 7 April - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyambut baik pelaksanaan 10 lojakan yang ditetapkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) Pengajian Tinggi (PT) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak hari ini.

Naib Canselornya, Brig. Jen Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, kesemua 10 lonjakan yang ditetapkan itu adalah selari dengan pelan strategik UniMAP 2015-2020 yang antara lainnya memberi fokus kepada penghasilan graduan yang holistik dan mampu memenuhi aspirasi negara.

Pada dasarnya, ujar beliau, penumpuan pada aspek graduan sebenarnya telah digariskan dalam misi UniMAP semenjak 2002 lagi iaitu melahirkan modal insan kamil yang menyumbang kepada agenda pembangunan negara.

"Graduan merupakan aset utama universiti yang mana mereka seterusnya bakal menjadi ejen perubahan kepada pembangunan negara.

"Justeru UniMAP amat menyokong pelaksanaan dasar ini dan akan bekerja bersama2 kerajaan untuk menghasilkan graduan yang holistik," ujar beliau selepas majlis pelancaran PPPM (PT) di Hotel Royale Chulan di sini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh.

Dalam ucapan perasmian beliau, Perdana Menteri berkata, PPPM (PT) bakal menjadi pemangkin kepada transformasi negara untuk bersaing di peringkat global dengan penumpuan kepada penjanaan pelajar berbakat yang penting bagi sesebuah negara dalam mengekalkan kejayaannya.

Menurut Datuk Seri Mohd. Najib, pelajar yang berteraskan nilai positif dari segi rohaniah, moral, etika dan kekuatan akan menonjolkan identiti nasional selari dengan kemajuan negara sekaligus menempatkan Malaysia sebagai antara sebuah negara terbaik di dunia.

Dalam perkembangan lain, Datuk Kamarudin turut menyambut baik inisiatif kerajaan memberi tumpuan kepada graduan TVET. 

Jelas beliau, sebagai sebuah universiti yang kini menawarkan program berteraskan kejuruteraan teknologi, pemerkasaan graduan TVET adalah amat relevan dan signifikan dengan penghasilan graduan berkemahiran dan teknologi tinggi.

"Stigma masyarakat yang sering memandang graduan TVET sebagai graduan kelas kedua harus diubah memandangkan kelompok graduan inilah yang diinginkan oleh sektor industri," ujar beliau.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Pengajian Tinggi

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Pengajian Tinggi

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Pengajian Tinggi

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Pengajian Tinggi

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Pengajian Tinggi

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Pengajian Tinggi