- Category: BERITA - Malay
- Written by Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Dan Nahda University Anjur Persidangan Bersama
KAHERAH,MESIR 26 Februari - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menapak selangkah lagi di persada antarabangsa apabila bekerjasama dengan Nahda University, Mesir, dalam menganjurkan persidangan bertajuk “Developing Higher Education in the Arab and Islamic World at the Age of Globalization and Knowledge” baru-baru ini.
Persidangan selama dua hari itu berlangsung di Triumph Hotel, dekat sini, dirasmikan isteri kepada bekas Presiden Mesir Dr Jehan Al Sadat.
Ia disertai kira-kira seramai 250 peserta yang terdiri daripada pengurusan utama universiti, pentadbir serta ahli akademik dari seluruh benua Arab, Sepanyol, Indonesia dan juga Malaysia.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UniMAP, Prof. Dr. Abdul Hamid Adom yang mewakili Naib Canselor UniMAP diberikan penghormatan untuk menyampaikan Ucaptama pada persidangan tersebut.
“ Antara perkara yang ditekankan sepanjang persidangan ini adalah berkisar kepada trend pengajian tinggi di peringkat global terutama bagi negara-negara Islam serta bagaimana membangunkan inisiatif bagi membantu sistem pengajian tinggi di negara Arab supaya dapat melayari cabaran global.
“ UniMAP berasa amat berbesar hati kerana telah diberi kepercayaan dari Kesatuan Universiti Mesir untuk membantu mereka merangka pelan strategik berdasarkan pengalaman dan kepakaran yang ada,”katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sementara itu, bersempena dengan persidangan tersebut, deligasi UniMAP turut dijemput untuk melawat Nahda University yang terletak di Beni Sewiff, 150 kilometer dari Kaherah.
disambut oleh Presiden Universiti tersebut iaitu Profesor Seddik el Efifi serta barisan pengurusan utama universiti.
Ujar Prof. Dr. Hamid lagi, agenda lawatan tersebut adalah perbincangan kerjasama UniMAP dan Nahda University.
“Kami telah dibawa melawat ke fakulti pergigian, kejuruteraan dan komunikasi yang terletak di dalam kampus dan delegasi UniMAP turut dibawa ke sesi temuramah bersama Nahda TV dan Radio.
“Saya berasa amat kagum dengan pembangunan pesat universti yang diasaskan sejak tahun 2006 lalu dan pendekatan konsep praktikal yang diambil oleh pengurusan Nahda University yang ditekankan kepada pelajar-pelajar mereka,”katanya lagi.
Nahda university merupakan sebuah institut pengajian tinggi swasta yang sedang melonjak namanya di Mesir dan mempuyai seramai 5,000 pelajar.
Turut serta dalam lawatan tersebut , Pengarah Pusat Bahasa Antarabangsa UniMAP, Prof. Dr. Harshita Aini Haroon, Pegawai Khas Naib Canselor, En. Shafiq Hizwari dan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pembangunan Insan Dan Teknokomunikasi UniMAP Dr. Amani el Ali.
Sebelum Pulang ke Malaysia, deligasi UniMAP turut mengambil kesempatan untuk melawat Rumah Perlis di Kaherah yang menjadi premis penginapan bagi Keluarga Pelajar Perlis (KPP).
Menurut Prof. Dr. Abdul Hamid, lawatan ke Rumah Perlis itu bertujuan bagi mendekatkan silaturrahim dengan pelajar-pelajar yang berasal dari Perlis dan menyampaikan sumbangan kepada pelajar-pelajar yang menetap di situ.
Delegasi UniMAP telah diraikan dengan meriah oleh 80 orang pelajar yang tinggal di rumah Perlis dan disambut oleh Yang Dipertua KPP iaitu saudara Ahmad Mahir.
Premis Rumah Perlis ini diletak di bawah jagaan KPP yang merupakan satu badan kebajikan yang berfungsi menyatupadukan anak negeri Perlis yang belajar di Mesir. Premis terkini yang diduduki ini telah dirasmikan oleh DYTM Tuanku Syed Faizudin Putra pada tahun 2005 dan merupakan premis kedua KPP yang diletakkan di bawah hakmilik kerajaan Malaysia. Pada tahun 2011, KPP mendapat sumbangan daripada MIDF untuk pembinaan dewan dan selesai proses pembinaan pada pertengahan 2013.