- Category: BERITA - Malay
- Written by Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Rektor UUI Dilantik Profesor Adjung UniMAP
Banda Acheh, 15 Februari – Rektor Universitas Ubudiyah Indonesia, Marniati M. Kes dilantik sebagai Profesor Adjung di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk tempoh dua tahun.
Pelantikan tersebut diserahkan sendiri oleh Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin selepas selesai Program Pembentangan Strategik dan Hala Tuju UniMAP 2016-2020 di Dewan Plenary UUI di sini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP berkenan berangkat hadir menyaksikan pelantikan tersebut.Turut hadir, Ketua Yayasan Ubudiyah Indonesia (YUI), Dedi Zefrizal ST serta semua Pengurusan Tertinggi, Dekan dan Ketua Jabatan UniMAP.
Menurut Datuk Kamarudin, pelantikan tersebut di buat atas pengalaman dan kemahiran yang dimiliki oleh Marniati terutama dalam membangunkan sebuah universiti di Acheh selepas kejadian Tsunami pada tahun 2004 yang lalu.
“UniMAP amat mengkagumi komitmen dan kerja keras beliau dalam membangunkan UUI termasuk dalam aspek pengantarabangsaan yang menjadikan UUI antara Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang terkenal di Acheh meskipun baru berusia awal 30-an.
“Dengan pelantikan ini, saya berharap beliau dapat berkongsi pengalaman dan ilmu yang dimiliki dengan warga kerja serta pelajar UniMAP,” ujar beliau lagi.
Dalam pada itu, Marniati berkata, pelantikan tersebut merupakan pengiktirafan istimewa untuk beliau dan ia menyuntik semangat beliau untuk terus berjaya.
“Jika dibandingkan pengalaman saya dengan pengalaman Datuk Kamarudin memang jauh bezanya, namun penghargaan yang diberikan oleh beliau (Datuk Kamarudin) dan UniMAP ini amat saya hargai dan akan menggunakan platform Profesor Adjung ini bukan sahaja untuk berkongsi pengalaman saya dengan UniMAP sebaliknya meraih sebanyak mungkin pengalaman melalui kejayaan UniMAP,” ujar beliau.